Selasa, 19 Mei 2009

Dato' Ahmad Tetap MB Terengganu-TPM

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin hari ini menegaskan Dato’Ahmad Said adalah Menteri Besar Terengganu dan tidak ada apa-apa perubahan yang akan dibuat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu hari ini (16 Mei).

“Setakat ini saya tak dengar apa-apa dan berharap situasi politik di negeri ini bertambah baik,” katanya ketika menjawab pertanyaan yang diajukan pemberita mengenai desas desus jawatan Menteri Besar Terengganu akan diganti.

Katanya, apa yang penting sekarang adalah kekuatan Barisan Nasional (BN) dan UMNO di negeri ini perlu dipertingkatkan dan di beri keutamaan.

“Saya percaya semua kepimpinan umno termasuk di kalangan ahli-ahli yang berhormat dan pemimpin bahagian akan cuba mengorak langkah baru untuk mewujudkan persefahaman yang lebih baik,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin berkata, rakyat telah memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menerajui negeri ini dan tumpuan harus diberi sepenuh masa untuk pembangunan dan mengukuhkan perpaduan kalangan ahli masyarakat.

Katanya, Terengganu mempunyai banyak sumber alam semulajadi termasuk minyak dan rakyat negeri ini tentu mahu melihat lebih banyak pembangunan dan faedah yang mereka perolehi daripada kerajaan yang mereka pilih.

“Walaupun ada perselisihan dan percanggahan pendapat tapi harus ada jalan penyelesaian dan dilaksanakan sebaik mungkin. Apa yang penting perpaduan harus diutamakan,” katanya.

“Pemimpin parti yang berjawatan atau pemimpin parti yang tidak berjawatan harus berganding bahu pertahankan kepentingan rakyat. Keperluan masyarakat perlu mereka utamakan kerana rakyat telah memberi kepercayaan kepada mereka untuk menjadi pemimpin mereka,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan