Selasa, 12 Mei 2009

MB Masuk Kampung Kelahiran Datuk

Oleh : AIDA ABD RAHMAN



Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said kelihatan bersemangat dan teruja ketika masuk kampung yang menjadi tempat kelahiran datuk beliau Allahyarham `Che Ali’ yang juga pengasas atau individu yang bertanggungjawab membuka Kampung Che Ali, di Rhu Rendang, Marang, hari ini (7 Mei).

Dalam lawatan kira-kira sejam di kampung itu, beliau berkesempatan melawat dan menyedekahkan doa di depan pusara Allahyarham `Che Ali’ bersempena Program Sehari Bersama Menteri Besar, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Parlimen Marang.



Program kali ini merupakan program ketiga Menteri Besar bersama rakyat di seluruh parlimen, selepas program yang sama di Maras, Setiu pada 7 Mac dan diikuti Parlimen Besut pada 1 April lalu.

Beliau yang diiringi beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, pegawai kanan kerajaan, ketua jabatan, pemimpin masyarakat dan sukarelawan dari kalangan masyarakat kampung serta penjawat awam bergotong-royong menggantikan atap baru di 28 buah rumah keluarga miskin di sekitar Rhu Rendang.



Dalam program kebajikan itu, Menteri Besar sempat memanjat dan memaku sendiri atap beberapa rumah yang dikunjungi beliau. Sebanyak 12 rumah di kampung Paya, masing-masing empat rumah di Bandar Marang, Kijing dan Che Ali.

Sebelum itu, Dato’ Ahmad meluangkan masa kira-kira sejam menikmati minum pagi bersama rakyat di kedai makan Marang Waterfront. Sejurus kemudian, beliau melawat dan meninjau perkembangan pembinaan Pasar Baru Bandar Marang tidak jauh dari jeti Marang.



Sementara itu, kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM1 juta bagi membina lima balai raya baru di kawasan Rhu Rendang bagi kemudahan penduduk setempat menjalankan aktiviti dan mendapatkan maklumat.

Kelulusan serta-merta dibuat oleh Menteri Besar selepas hasrat pemimpin dan masyarakat kampung sekitar Rhu Rendang itu disampaikan kepada beliau menerusi Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku.



“Kita luluskan lima buah balai raya dengan satu RM200,000. Dia (Nik Dir) mintak 10 untuk kampung yang tiada balai raya atau terlalu uzur dan sebagainya. Jadi tahun ini kita lulus lima buah dulu dengan peralatan-peralatan di balai raya itu,” kata beliau selepas merasmikan Balai Raya Baru Kampung Seberang Marang, Marang.

Dalam majlis itu, Menteri Besar turut meluluskan peruntukan RM50,000 bagi menyediakan kelengkapan dan peralatan komputer untuk digunakan masyarakat kampung di balai raya itu.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan