Selasa, 5 Mei 2009

Galeri Seni Warisan Hab Hasil Kraftangan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


YB Ahmad Razif dan Dato' Mohamed melihat cara menenun songket pada demonstrasi yang diadakan sempena perasmian Galeri Seni Warisan Terengganu di Kampung Ladang, Kuala Terengganu. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Galeri Seni Warisan Terengganu di Kampung Ladang bakal menjadi hab bagi hasil kraftangan Terengganu yang mampu menarik pelancong dalam dan luar untuk mengenali seni warisan Terengganu dengan lebih dekat.

Kewujudan galeri di kampung dalam bandar raya Kuala Terengganu itu juga sinonim dengan nama kampung yang sudah terkenal sebagai tempat menghasil tembaga yang unik dan bermutu tinggi seperti Wanisma Craft.


Demonstrasi mengirai benang tenun turut diadakan di Galeri Seni Warisan Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata galeri yang dibangunkan Perbadanan Memajukan Iktisad Terengganu itu menjadi hasrat kerajaan untuk memastikan nilai seni Terengganu tidak akan pupus ditelan zaman arus pemodenan.

Katanya, ia seharusnya diwarisi oleh generasi muda dan dengan adanya galeri ini ia dapat menjadi daya penarik utama kepada generasi itu.

“Kerajaan akan terus menyalurkan peruntukan bagi terus membangunkan galeri seni ini dan penubuhan kali ini merupakan fasa pertama dan InsyaAllah ia akan diwujudkan di setiap daerah di Terengganu.


Pameran sutera Terengganu menghiasi Galeri Seni Warisan Terengganu.

“Ia akan terus dibangunkan dan diperbesarkan lagi dengan penyediaan persekitaran yang kondusif diharap menjadi pusat tarikan pelancongan utama nanti,” katanya ketika merasmikan Galeri Seni Warisan Terengganu, di Kampung Ladang, Kuala Terengganu, hari ini (4 Mei).

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman.

Sementara Pengerusi Jawatankuaa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata galeri seni itu berfungsi sebagai pusat pameran, rujukan, pengurusan dan bimbingan rekaan kepada pengusaha kraf di Terengganu yang diselaraskan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dengan kerjasama Terengganu International Design Excellence (TIDE).

Katanya, galeri seni itu mengandungi sudut pameran kepada pengusaha kraf Terengganu terutama bahan kraf seperti songket, batik, busana muslimah, tembaga, ukiran, anyaman dan sebagainya.

“Sudut pameran ini berkonsepkan kecemerlangan rekaan berinspirasikan kekayaan alam dan warisan tradisi negeri Terengganu.

“Hasil kreatif pengusaha yang dipamerkan di galeri ini akan bertukar dari masa ke semasa agar dapat memberi peluang kepada semua pengusaha tempatan. Sudut pameran ini juga berperanan sebagai pencetus inspirasi kepada pengusaha dan juga generasi pelapis akan datang,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan