Ahad, 12 April 2009

21 Pasukan Sertai Kejohanan Sepak Takraw Dunia

KUALA TERENGGANU, 10 April (Bernama) -- Sebanyak 21 buah negara mengesahkan untuk menyertai Kejohanan Sepak Takraw Dunia yang akan diadakan buat pertama kali di Terengganu, bulan depan.

Pasukan berkenaan ialah Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Laos, Vietnam, Myanmar, Filipina, Sri Lanka, India, Kanada, Perancis, Korea Selatan, Jepun, China, Oman, Australia, Hungary, Jerman, Switzerland dan Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata kejohanan itu akan berlangsung dari 25 hingga 31 Mei di Stadium Negeri di sini.

"Terengganu buat pertama kalinya telah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah kejohanan sepak takraw bertaraf dunia ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata kira-kira 800 pegawai dan pemain dari negara berkenaan akan menyertai kejohanan itu yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah hampir RM250,000.

Abdul Rahin berkata antara acara yang akan dipertandingkan ialah berpasukan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan wanita.

Beliau berkata kerajaan negeri bersedia untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu kerana sepak takraw merupakan antara sukan yang popular di Terengganu.

"Kita harap dengan berlangsungnya kejohanan dunia ini akan menyuntik semula minat di kalangan rakyat Terengganu untuk mempopularkan sukan berkenaan," katanya.

Beliau berkata Menteri Besar Datuk Ahmad Said akan merasmikan kejohanan itu, yang dianjurkan bersama oleh kerajaan Terengganu dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan