Selasa, 14 April 2009

Kesedaran Umat Islam Meningkat

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Tengku Seri Panglima Raja merasmikan istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Yang Kedua, Dewan Undangan Negeri Yang Ke-12 di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Usaha yang dijalankan ke arah penghayatan agama Islam berhasil apabila semakin ramai umat Islam mengeluarkan zakat berdasarkan perangkaan kutipan zakat pada 2008 meningkat kepada RM66.2 juta, iaitu rekod pungutan tertinggi sehingga kini.

“Tahniah kita ucapkan kepada semua pihak terutamanya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), “ kata Yang DiPertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Seri Panglima Raja dalam ucapan beliau sempena Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Yang Kedua, Dewan Undangan Negeri Yang Ke-12, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (13 April).


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menyerahkan teks ucapan perasmian kepada Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja.

Hadir sama mengiringi beliau, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong dan isteri, To’ Puan Rahmah Abdul Rahman serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan isteri, To’ Puan Halijah Ali.

Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu; Orang-orag Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri dan pegawai kerajaan negeri.

Tengku Seri Panglima Raja sebelum itu memeriksa barisan kawalan kehormat diiringi Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisiner I, Dato’ Mohd Shukri Dahlan.

Sementara itu, beliau berkata bagi tahun 2009, difahamkan bahawa Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam negeri-negeri termasuk Bahagian Baitulmal MAIDAM telah diputuskan sebagai badan penerima Wang Subhah daripada Pengurus Dana Unit Amanah Syariah oleh Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Baitulmal Kebangsaan yang bersidang pada awal 2009.

“Dalam hubungan itu, kita berharap MAIDAM dapat membuat perancangan bagi memudahkan proses penyaluran wang subhah, iaitu wang yang dihasilkan daripada aktiviti yang tidak diketahui status halal atau haram dan bercampur perkara yang dilarang oleh syariah.

“MAIDAM juga disarankan supaya bekerjasama dengan Islamic Malaysian SDn Bhd yang ditubuhkan oleh Bank Negara dan dilantik oleh banyak Pengurus Dana unit Amanah Syariah sebagai penasihat syariah bagi menasihati pengurusan unit amanah dalam aktiviti pelaburan mereka termasuklah pelaburan yang melibatkan wang subhah,” katanya.

Katanya, maklumat terperinci perlu dibekalkan bagi memudahkan cara proses penyaluran wang subhah terutamanya kepada Syarikat Pengurus Dana Unit Amanah Syariah serta bank tempatan lain khusus di Terengganu yang disediakan oleh Bahagian baitulmal MAIDAM.

Di samping itu, beliau berkata, MAIDAM perlu mengadakan kaunter mesra rakyat, mewujudkan `hot line’ ataupun memberi kesan insentif tambahan kepada syarikat yang sentiasa mengeluarkan wang subhah kepadanya. Wang subhah ini boleh digunakan untuk apa jua tujuan termasuk bagi aktiviti dan program pembangunan negeri.

Dalam pada itu, Tengku Seri Panglima berkata, berdasarkan pemerhatian, pembangunan bandar perlu diberi perhatian yang serius dan inilah masanya kerajaan Terengganu perlu mengimplementasikan perancangan yang dibuat sebelum ini.

“Bagi Bandar Raya Kuala Terengganu perkembangan terkini memerlukan pembukaan kawasan baru. Pembangunan kawasan Bukit Besar/ Padang Hiliran perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Kita difahamkan proses mengambil balik bagi sebahagian agensi sudah bermula dan kajian terperinci sedang dijalankan bagi menjadikan Kuala Nerus Daerah Kelapan di Terengganu,” katanya.

Dato' Ahmad Said bersama Tengku Seri Panglima Raja selepas selesai perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata, pembangunan di kawasan itu boleh diasaskan kepada sektor pendidikan yang sinonim di situ termasuk Universiti Darul Iman; Universiti Malaysia Terengganu, Institut Latihan Petronas, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Dato’ Razali Ismail.

Menurut beliau lagi, pembangunan perlu dirancang dari sekarang, lebih-lebih lagi Lebuh Raya Pantai Timur (Fasa 2) yang berakhir di kawasan Kuala Nerus sebelum memasuki Bandar Raya Kuala Terengganu.

“Dalam pada itu, bandar lain di negeri ini perlu diberi perhatian yang sama. Kita ingin menyarankan supaya setiap daerah terutama yang berhampiran ibu daerah dirancang secara menyeluruh supaya boleh menjadi pemangkin kepada daerah itu.

“Asas-asas aktiviti ekonomi perlu diketengahkan dan dibangunkan seperti aset aktiviti pelancongan Tasik Kenyir dan aktiviti pertanian di Hulu Terengganu, pertanian dan pelancongan di Setiu serta aktiviti berlaitan di daerah masing-masing,” kata beliau lagi.


Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan