Ahad, 12 April 2009

Terengganu Majukan Pelancongan Sebagai Tulang Belakang Ekonomi Negeri

KUALA TERENGGANU, 9 April (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan menjadikan sektor pelancongan sebagai tulang belakang pembangunan ekonomi negeri itu pada masa depan, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata Terengganu tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada sumber minyak dan gas semata-mata kerana bahan api itu kemungkinan akan habis.

"Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, ia memberikan gambaran bahawa kita tidak boleh terlalu bergantung kepada hasil minyak dan gas kerana harga bahan api itu turun secara mendadak baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada media mengenai kemajuan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi Terengganu di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ECER Datuk Jebasingam Issace John.

Ahmad berkata kerajaan perlu memberi ruang yang secukupnya dalam bidang pelancongan dengan memajukan sumber alam yang ada seperti tasik, pulau dan pantai melalui dana yang disediakan ECER.

"Hasil rundingan dengan Firefly baru-baru ini, syarikat penerbangan itu akan membuat penerbangan timbal balik membawa pelancong dari Singapura ke Terengganu bermula Jun ini," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga telah mengenalpasti beberapa penerbangan daripada syarikat penerbangan lain terutama dari China untuk membawa pelancong terus ke negeri ini.

Dalam usaha mempromosi Terengganu, beliau berkata beberapa iklan yang memaparkan pemandangan pulau, tasik dan pantai negeri itu akan dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selain pelancongan, Ahmad berkata Terengganu juga akan memberi tumpuan dalam bidang petrokimia dan industri berasaskan minyak dan gas yang telah menarik pelaburan sebanyak RM195 juta di Taman Plastik Kertih (KPP).

Beliau berkata KPP dijangka beropersi sepenuhnya pada 2015 dan mampu menarik pelaburan berjumlah RM2 bilion serta menjana peluang pekerjaan untuk 7,000 pekerja.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan