Khamis, 16 April 2009

Persidangan Dewan Undangan Negeri (Hari Ketiga)

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad beramah mesra dengan pelajar yang mengikuti Persidangan Dewan Undangan Negeri selepas persidangan selesai. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

GLC Untuk Kepentingan Rakyat

Visi dan misi Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) seperti Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad, TDM Berhad dan Golden Pharos (GP) Berhad adalah jelas untuk menjadi sebuah entiti yang unggul dan berjaya bersandarkan ketelusan dalam semua pengurusan.

“Sebagai sebuah syarikat ianya mampu menyumbang kepada usaha meningkatkan dan membangun taraf sosial negeri,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ketika menjawab soalan yang diajukan Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Burok) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari ketiga, di Wisma Darul Iman, hari ini (15 April).


Persidangan Dewan Undangan Negeri pada hari ketiga berjalan lancar dengan kehadiran semua ahli dewan.

Contohnya EPIC Berhad, visi dan misinya amat jelas untuk menjadi sebuah entiti pelbagai yang unggul melalui pemantapan kerjaya sebagai nadi kejayaannya di samping memantapkan mutu pekerjaan serta keberkesanan kos dan keuntungan pada rangkaian nilai pemegang saham.

Manakala, TDM Berhad adalah syarikat utama yang mengemudikan perniagaan dalam bidang perdagangan di negeri ini yang berjaya diperingkat tempatan dan global serta mampu memberi pulangan dividen maksimun kepada pemegang saham yang tidak terhad kepada bidang kewangan malah peluang pekerjaaan kepada masyarakat dan usahawan tempatan.

Begitu juga GP Berhad yang mengeluarkan produk dan perkhidmatan yang berinovasi dan bermutu tinggi serta menjadi sebuah organisasi perniagaan perkayuan Malaysia yang unggul dan bersepadu.

“Turut menggunakan kedudukan syarikat sebagai sebuah organisasi perkayuan yang bersepadu dengan mengeluarkan produk dan perkhidmatan bermutu tinggi serta berusaha secara berterusan membaiki produk dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan pelanggan,” katanya.


Dato' Ahmad berbual dengan Ahli Dewan Negara yang baru dilantik, Hajah Zainun A.Bakar selepas selesai Persidangan Dewan Undangan Negeri.

Dato’ Ahmad berkata, GLC Terengganu sedang menjalankan proses penyusunan semula dengan matalamat lebih terperinci seperi fokus perniagaan industri yang memberi pulangan tinggi berpandukan kepada sumber dan kekuatan serta kelebihan yang ada.

Katanya, di samping memperkemaskan operasi aktiviti teras ke arah ketulusan yang disokong oleh warga kerja yang berkebolehan dan berintergriti, ianya turut memantapkan entiti sedia ada serta memberi fokus kepada proses cantuman dan pengambilalihan juga penggulungan.

“Penyusunan ini juga bertujuan membendung pembaziran dan kebanjiran sumber dengan memantapkan sistem kawalan keseimbangan dan pengurusan dengan menggunakan sistem berkaedah baik dan berhemah berpandukan perundangan dan peratusan yang berkuatkuasa,” katanya.

Katanya, koordinasi dan penyusunan semula persefahaman serta perjalanan semula agensi dan anak syarikatnya.adalah dijangkakan selari dan mendapat pulangan secepat mungkin kepada rakyat dan penyusunan semula ini akan selesai pada Jun depan.

Menjawab soalan tambahan daripada wakil yang sama mengenai rasionalnya tindakan kerajaan memindahkan sebahagian besar operasi GLC dari bandar Kuala Terengganu.

Dato’ Ahmad, berkata fokus sebenar ialah kepada perniagaan contohnya EPIC di mana sebahagian besar perniagaannya dalam Kemaman Supply Base (KSB) dan ianya lebih menjimatkan kos kerana KSB ada pejabatnya sendiri yang dilengkapi semua kemudahan, tidak perlu disewa atau beli bangunan baru

“Tidak menjadi masalah pada bangunan yang ditinggalkan kerana boleh digunakan untuk disewa atau dibuat hotel dan ini akan memberi pendapatan kepada EPIC,” katanya.

Menurutnya, menjadi perkara biasa apabila melakukan penyusunan semula dan atas kepentingan tertentu saya mengakui ada pegawai kerajaan telah memegang lebih daripada satu jawatan sebelum ini.

Katanya, beliau perlukan orang-orang yang bertanggungjawab dan berintegriti dalam menguruskan syarikat kerajaan negeri kerana ramai di kalangan kita jujur dan ikhlas sebelum memegang jawatan tetapi bila sudah memegang jawatan lupa akan tanggungjawab dan ketelusan yang dilaungkan.

“Saya tidak mahu bersubahat dengan penyelewengan dan sesiapa yang ada maklumat mengenai salah laku dalam anak-anak syarikat tolong beritahu kerana saya tidak mahu melihat adanya perlakuan pecah amanah serta mengkhianati kepercayaan rakyat,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan