Selasa, 28 April 2009

CCTV Jamin Keselamatan

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad Said (depan) melihat fungsi CCTV selepas melancarkannya di Majlis Daerah Hulu Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Aplikasi sistem keselamatan Sistem Televisyen Litar Tertutup (CCTV) mampu menguatkan keyakinan rakyat bahawa keselamatan dan ketenteraman terjamin dan sesuatu lokasi selamat dikunjungi.

“Kerajaan prihatin dengan keperluan keselamatan pengunjung di bandar-bandar utama yang telah menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said di majlis perasmian CCTV Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) di perkarangan pejabat itu, hari ini (27 April).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, YB Rozi Mamat; Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Encik Aziz Mamat dan Yang Dipertua MDHT, Encik Mohd Nor Ibrahim.



Katanya, walaupun keadaan jenayah terkawal dan ketenteraman awam terjamin, kita tidak boleh leka dengan isu keselamatan dan pencegahan jenayah. Malah, dengan adanya CCTV di sekitar bandar Kuala Berang, rakyat akan rasa lebih selamat menjalankan aktiviti harian mereka.

Dato’ Ahmad mengucapkan syabas kepada MDHT yang tergolong antara pihak berkuasa tempatan paling cepat dan berjaya menyahut saranan kerajaan dalam usaha memperkasakan ciri-ciri keselamatan bagi kawasan liputannya.

“Sejumlah RM1.56 juta dibelanjakan bagi tujuan pemasangan CCTV di 17 lokasi termasuk pusat kawalan di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu, Balai Polis Ajil dan MDHT sendiri,” katanya.

Sehingga ini, Majlis Daerah (MD) Besut, Marang dan Setiu telah siap, manakala Kemaman, Dungun dan Kuala Terengganu dijangka siap tidak lama lagi.

“Antara lokasi lensa CCTV yang terdapat dalam kawasan MDHT ialah di tempat tumpuan umum ini termasuklah di Stesen Bas Kuala Berang, Masjid Sultan Mahmud, taman rekreasi, pejabat pos, Sekolah Menengah Ajil dan Seri Berang, beberapa pejabat kerajaan serta laluan bersimpang,” katanya.

Katanya, dengan adanya sistem ini rakaman semula CCTV banyak membantu pihak polis dan penguasa tempatan untuk mengesan pesalah lalu lintas, peragut dan kecurian.


Pemantauan melalui CCTV dapat mengurangkan kegiatan yang tidak diingini di sekitar Hulu Terengganu.

“Saya percaya kadar jenayah dapat dikurangkan selain memantau kegiatan mereka yang suka merosakkan harta kerajaan dan yang suka membuang sampah serta puntung rokok di merata tempat,” katanya.

Katanya, usaha ini bertepatan dengan kehendak kerajaan mewujudkan persekitaran bandar yang bersih terutama kawasan tarikan pelancong dan bandar Kuala Berang merupakan pintu masuk pelancong ke Tasik Kenyir.

Menteri Besar kemudiannya bersetuju meluluskan RM1 juta untuk membina laluan baru ke Terminal Bas – Jalan Besar bagi tujuan kemudahan orang awam serta mengurangkan kesesakan di kawasan bandar Kuala Berang.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan