Khamis, 9 April 2009

Saya Anak Terengganu Bentuk Jati Diri

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Kempen derma darah turut diadakan pada program Saya Anak Terengganu di Kampung Gong Terap, Setiu. -Foto YAYASAN PEMBANGUNAN KELUARGA.

Kejayaan ramai anak Terengganu di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang seharusnya perlu menjadi ikutan dan pendorong kepada golongan muda meneruskan kesinambungan itu dengan mengekalkan tradisi nilai murni.

Bagi memastikan perkara itu dapat direalisasi, Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu menganjurkan program Saya Anak Terengganu (SAT), di Kampung Gong Terap, Chalok, Setiu, pada 4 April lalu.


Konvoi motosikal berkuasa tinggi memeriahkan lagi program Saya Anak Terengganu.

Program itu antara usaha kerajaan negeri membentuk generasi muda yang bangga menjadi anak Terengganu yang sarat dengan nilai-nilai murni dan tradisi.

Pengarah YPK, Encik Mohd Shafaruddin Mustafa, berkata kejayaan profesionalisme anak-anak Terengganu hari ini ramai berlatar belakangkan keluarga dengan nilai-nilai murni dan tradisi tersebut.


Gulai kawah disediakan secara gotong-royong oleh penduduk kampung pada program Saya Anak Terengganu di Kampung Gong Terap.

Katanya, golongan muda perlu ada pencapaian yang seimbang tanpa meminggirkan budaya hormat menghormati, sepakat dalam masyarakat, bermaruah dan berakhlak serta ada semangat anak Terengganu yang berjaya serta mempunyai jati diri.

YPK dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat, Kebajikan dan Wanita Negeri serta Pejabat Daerah Setiu menganjurkan SAT secara bersepadu bagi memupuk bakat dan mempamerkan potensi diri khususnya untuk golongan muda yang dijayakan melalui pendekatan inter-generasi (jalinan mesra golongan muda dan tua) dalam bentuk penghayatan nilai-nilai murni orang Terengganu terdahulu dengan semangat mahabbah dalam masyarakat dan kekeluargaan.

Seramai 2,000 peserta mengikuti aktiviti yang dijalankan melibatkan aktiviti `outdoor’ dan `indoor’. Aktiviti indoor Persembahan Kreatif dan Inovasi seperti merekacipta logo SAT dan proses menghasilkan animasi (3-D), peraduan mewarna murid-murid sekolah, Dialog Keluarga Mithali, Pengkisahan Sejarah serta Bicara Usahawan Muda sementara aktiviti “outdoor” pula ialah Pameran Motosikal berkuasa besar dan Motosikal klasik, Klinik Servis Motosikal, Kempen Keselamatan Jalanraya, Pameran Agensi Kerajaan, Persembahan Kebudayaan dan Kesenian dan lain-lain lagi.

Perasmian program oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Wanita Negeri, Haji Asha’ari Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Langkap.

Hadir sama, adalah Penolong Setiusaha Kerajaan (PSU) Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Wanita Negeri, Encik Fadli Yusoff serta wakil Pegawai Daerah Setiu. Turut terlibat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan belia Kampung Gong Terap, Kampung Chalok Kedai, Kampung Bukit Mak Som, Kampung Bukit Merah, Kampung Bukit Kecil, Kampung Bukit Putera, Kampung Sungai Lerek dan Kampung Rahmat dan kampung-kampung dalam DUN Langkap.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan