Ahad, 12 April 2009

Terengganu Lancar Kedai Serbaneka T-Shoope Bulan Depan

KUALA TERENGGANU, 9 April (Bernama) -- Terengganu akan membelanjakan kira-kira RM500,000 bagi melancarkan empat buah kedai serbaneka yang menggunakan jenama T-Shoope awal bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata kedai yang akan beroperasi selama 24 jam itu akan dibuka di Marang, Kuala Terengganu, Kemaman dan Kuala Berang.

"Pelancaran kedai serbaneka ini akan dilakukan Menteri Besar Datuk Ahmad Said di Kuala Berang pada 4 Mei ini diikuti di Kuala Terengganu, Kemaman dan Marang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamed berkata T-Shoope akan menjual pelbagai barang yang dihasilkan oleh penduduk tempatan seperti batik, songket, tembaga serta barang makanan kering dan ringan.

Melaui T-Shoope, para pengusaha kraf tempatan juga dapat memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa pada masa depan, katanya.

Bagi rancangan jangka panjang, Mohamed berkata T-Shoope akan dibuka di Melaka dan Kuala Lumpur sebelum diperluaskan di negeri lain.

"Matlamat kita ialah untuk mewujudkan rangkaian T-Shoope di seluruh negara pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan