Ahad, 12 April 2009

Program rapatkan jurang muda, tua

PERMAISURI: Program sepakat 'Saya Anak Terengganu' mampu merapatkan jurang antara golongan muda dan tua serta diyakini dapat membentuk kemesraan berkeluarga dengan penghayatan nilai murni serta muhibah dalam kehidupan bermasyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Asha'ari Idris, berkata melalui program itu, ia dapat mencungkil bakat anak muda melalui program antara generasi serta memupuk bakat dan ketrampilan dalam institusi keluarga dan masyarakat.

"Pembangunan golongan muda yang maju dan seimbang bercirikan 'Saya Anak Terengganu' akan melahirkan generasi berdaya saing, harmoni, bersahsiah unggul serta bertanggungjawab pada diri, keluarga dan masyarakat.

"Ia juga akan melengkapkan generasi baru dengan nilai murni masyarakat Terengganu khususnya dari aspek pembangunan mental, sosial, rohani dan jasmani," katanya ketika berucap merasmikan Program Sepakat Saya Anak Terengganu di Kampung Gong Terap, Setiu semalam.

Program sehari itu dianjurkan Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu dan Pejabat Daerah Setiu.

Asha'ari berkata, ia juga bertujuan mendekatkan diri kumpulan sasar, khususnya penduduk setempat yang terdiri daripada komuniti warga emas, golongan belia dengan pemimpin di peringkat akar umbi.

Dipetik dari Berita Harian Online.



Terengganu Dapat Jurulatih Renang Dari China

KUALA TERENGGANU, 4 April (Bernama) -- Terengganu yakin mampu untuk muncul sebagai kuasa baru dalam acara renang pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) apabila pasukan itu mendapat khidmat jurulatih China, Wang Li Gen.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Rosdi Awang berkata Terengganu telah mendapat khidmat jurulatih berusia 46 tahun itu yang sebelum ini pernah berkhidmat di kapit, Sarawak, sejak lima tahun lepas.

Wang akan melaksanakan program pembangunan sukan renang serta penasihat skuad Sukma Terengganu 2010 di Melaka, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya pihaknya juga sedang berusaha mendapatkan seorang jurulatih asing bagi acara terjun bagi melengkapkan sukan aquatik negeri.

-- BERNAMA



Terengganu Guna Khidmat Jurulatih Thailand Untuk Sukma 2010

KUALA TERENGGANU, 1 April (Bernama) -- Terengganu akan menggunakan khidmat jurulatih dari Thailand bagi membimbing pasukan sepak takraw negeri dalam menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2010 di Melaka.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) Mohd Shapian Ali berkata langkah tersebut selaras dengan matlamat pasukan berkenaan untuk membawa pulang pingat emas pada temasya sukan dwi-tahunan itu.

"Kali pertama kita menggunakan khidmat jurulatih Thailand ialah pada Sukma di Terengganu tahun lepas dan berjaya meraih pingat gangsa. Matlamat kita tahun depan ialah untuk memenangi pingat emas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya memilih jurulatih dari Thailand bagi mempersiapkan pasukan Terengganu kerana negara berkenaan mempunyai ramai jurulatih berkualiti serta berwibawa.

" Tambahan pula, mereka berminat untuk datang dan melatih pasukan Terengganu," katanya.

Mohd Shapian berkata Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) turut memberikan kerjasama dalam mengenalpasti jurulatih tersebut serta membiayai segala perbelanjaannya.

Mengikut perancangan, beliau berkata jurulatih berkenaan akan melatih pasukan Terengganu mulai Julai ini, sehingga berakhirnya Sukma tahun depan.

Katanya pegawai MSNT dan PSTNT akan berlepas ke Bangkok, Thailand dalam tempoh terdekat bagi mengenalpasti jurulatih tersebut.

"Kita turut mendapat kerjasama yang baik daripada pegawai-pegawai persatuan sepak takraw Thailand dalam mencari jurulatih yang diperlukan itu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata PSTNT akan menganjurkan Kejohanan Bawah 21 tahun, bulan depan bagi mencungkil bakat baru untuk mewakili Terengganu pada Sukma 2010.

"Walaupun kita sudah mempunyai barisan pemain Sukma lepas, kita perlu mencari beberapa pemain baru untuk memantapkan pasukan Terengganu bagi menghadapi temasya tersebut," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan