Khamis, 9 April 2009

Masalah Rumah Kuala Besut Diselesai

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


DITERUSKAN...Menteri Besar, Dato' Ahmad Said diberi penerangan mengenai kawasan Universiti Darul Iman Malaysia di mana projek itu akan terus dibangunkan dengan bantuan Kerajaan Negeri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


Dato' Ahmad Said merasmikan tapak Tumah Pangsa di Kuala Besut.

Masalah perumahan yang kian menghimpit penduduk di Kuala Besut bakal diatasi dalam tempoh 18 bulan lagi apabila kerajaan negeri bersetuju untuk menyegerakan pembinaan kira-kira 150 unit Rumah Pangsa Kuala Besut, di Jalan Semerak, Kuala Besut.

Rumah pangsa empat tingkat berkenaan merupakan projek yang dicadangkan sejak Mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh dan diteruskan sebagai kesinambungan menyelesaikan masalah rakyat serta memastikan rakyat tidak terpinggir dalam arus pembangunan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata kerajaan negeri menyerahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar untuk menentukan reka bentuk yang sesuai menerusi perundingan dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri.


Mantan Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh (kiri) mendengar apa yang diperkatakan Menteri Besar, Dato' Ahmad Said ketika hadir pada majlis Jamuan Rakyat di Kuala Besut.

“Kita akan pastikan projek perumahan rumah pangsa antara 120 ke 150 unit berkenaan dapat siap dalam tempoh 18 bulan dari sekarang. Ia termasuk dalam 4,500 unit rumah yang akan dibina seluruh Terengganu,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Rumah Pangsa Kuala Besut, di Jalan Semarak, kelmarin (1 April).


Mesyuarat Mingguan Exco turut diadakan di luar Kuala Terengganu dan pertama kalinya di Bilik Gerakan Daerah Besut.

Beliau juga mahu supaya pembinaan rumah pangsa berkenaan dimajukan oleh kontraktor tempatan.
Hadir sama, Dato’ Seri Idris, Dr A Rahman dan beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang sebelum itu menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco di Pejabat Daerah Besut.

Majlis pecah tanah itu merupakan antara Program Sehari Bersama YAB Menteri Besar di Daerah Besut. Menteri Besar sebelum itu menghadiri taklimat pembangunan daerah di Pejabat Daerah Besut.


Ribuan penduduk sekitar Hulu Besut hadir mendengar dan pertama kalinya berjumpa dengan Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said ketika majlis Penyerahan Hak Milik Tanah di Keruak.

Beliau juga melawat Jerteh Souq selepas meninjau perkembangan projek pembangunan Universiti Darul Iman dan Taman Ilmu, di Tembila, Besut.

Sejurus kemudian, beliau menyerahkan sijil hak milik tanah kepada 33 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Awek, Darau dan Hulu Besut, di Dataran Keruak, Hulu Besut. Hadir sama, Dato’ Seri Idris dan Adun Hulu Besut, Haji Nawi Mohamad.

Menteri Besar dalam ucapannya di depan kira-kira 2,000 penduduk, mengumumkan akan meneruskan projek pembinaan Lebuh Raya Keruak, Hulu Besut dengan Gunung Bongsu, Hulu Terengganu dengan peruntukan RM500 juta.

Dalam lawatan itu juga, Menteri Besar turut meluangkan masa membaiki atap rumah penduduk miskin yang terpilih di kawasan Kuala Besut.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.



Terengganu Beri Insentif Kepada Azizulhasni Awang

BESUT, 1 April (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan memberikan insentif kepada pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang sebagai mengiktiraf kejayaannya memenangi pingat perak pada Kejohanan Trek Dunia di Poland, yang berakhir dua hari lepas.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata bentuk insentif itu akan diumumkan apabila pelumba basikal kelahiran negeri ini, pulang ke Terengganu tidak lama lagi.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mengadakan majlis bagi menyambut kepulangan Azizulhasni di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini.

"Kita akan beri sambutan meriah kepada Azizulhasni. Kita hargai dan mengiktiraf kecemerlangannya dalam sukan lumba basikal," katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah tapak rumah pangsa Kuala Besut di sini, Rabu.

Pada Kejohanan Trek Dunia di Pruszkow, Poland, skuad negara mencipta sejarah apabila meraih dua pingat.

Azizulhasni menyumbangkan pingat perak dalam acara pecut individu manakala seorang lagi pelumba negara, Mohd Rizal Tisin memenangi gangsa dalam acara 1km ujian masa individu.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan