Ahad, 19 April 2009

Azizulhasni Dapat Tanah dan Wang Tunai

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad Said memakaikan tengkolok tanda penghargaan tertinggi Kerajaan Negeri Terengganu buat pelumba basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang kerana kejayaannya di pentas dunia. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Sumbangan berharga pelumba basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang yang mengharumkan nama negara dan Terengganu di pentas dunia menyebabkan kerajaan negeri mengumumkan insentif berbaloi berupa wang tunai RM20,000 serta satu lot tanah untuk tapak rumah kepada atlet itu.

Azizulhasni, 21, dari Dungun berjaya memenangi pingat perak pada Kejohanan Basikal Trek Dunia 2009 di Pruszkow, Poland, penghujung bulan lalu.


Menteri Besar menyampaikan replika cek berjumlah RM20,000 kepada jaguh pecut berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang pada majlis penyampaian insentif di Wisma Darul Iman.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ketika mengumumkannya berkata kerajaan negeri akan berunding dengan Pejabat Tanah Dungun untuk mencari dan mengenalpasti kawasan yang sesuai bagi dihadiahkan kepada pelumba basikal kelahiran Dungun itu.

"Kerajaan negeri bersetuju memberikan sebidang tanah kepada Azizulhasni yang dapat digunakan untuk menjamin masa depannya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif kepada Azizulhasni di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (12 April).

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Dato’ Zolkples Embong dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju menaikkan elaun sebanyak 30 peratus kepada atlet Sukan Malaysia (Sukma) dengan serta merta.

Sementara itu, Azizulhasni amat terharu dan berterima kasih atas perhatian kerajaan negeri serta MSN yang telah memberikan sumbangan kepadanya.

"Saya mengucapkan terima kasih kerana ini satu penganugerahan yang amat besar dalam karier saya sebagai pelumba basikal.

“Sumbangan ini saya akan gunakan sebaik mungkin bagi tujuan peribadi serta membantu keluarga,” katanya.

Azizulhasni sebelum itu disambut dan diarak dengan meriah ke dalam dewan besar Wisma Darul Iman dan dipakaikan tengkolok serta selimpang oleh Menteri Besar.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan