Selasa, 21 April 2009

RM234.3 Juta Untuk Infrastruktur Telekomunikasi

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Yahya Khatib menerima cenderamata daripada Mohd Shafie pada majlis perasmian Seminar Garis Panduan Penyediaan Kerja Sivil Bagi Infrastruktur Telekomunikasi Kawasan Pembagunan Baru di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu.

Kerajaan negeri mendapat peruntukan sejumlah RM234.3 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur telekomunikasi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tempuh 2008 hingga 2010.

Antara projek yang akan dilaksanakan ialah Perpustakaan Jalur Lebar, Pusat Jalur Lebar Komuniti, pembinaan menara selular serta penyediaan telefoni asas di kawasan luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, YB Yahya Khatib Mohamad berkata demikian di majlis perasmian Seminar Garis Panduan Penyediaan Kerja Sivil bagi Infrastruktur Telekomunikasi di Kawasan Pembangunan Baru, di Grand Continental, Kuala Terengganu hari ini (21 April).

Turut hadir, Pengarah Kanan SKMM, Encik Mohd Ali Hanafiah; Pengarah Wilayah Timur, Encik Mohd Shafie Harun; Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Puan Aminah Abdul Rahman dan Ketua Penolong Setiausaha (Kerajaan Tempatan dan Tugas-tugas Khas) Wan Mohamad Lotfi Wan Ismail.


Sebahagian peserta yang menghadiri Seminar Garis Panduan Penyediaan Kerja Sivil Bagi Infrastruktur Telekomunikasi Kawasan Pembangunan Baru di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu.

Katanya, dari jumlah tersebut RM137.2 juta untuk pembinaan 98 menara baru di bawah program TIME 3 manakala RM72 juta lagi untuk mewujudkan 48 Pusat Jalur Lebar Komuniti.

“Sehingga ini 12 Pusat Jalur Lebar Komuniti telah memulakan operasi termasuk di Kampung Mercang, Marang yang telah dirasmikan oleh Menteri Tenaga Air dan Komunikasi, Dato’ Shaziman Abu Mansor pada 5 Januari lalu,” katanya.

Tambahnya, 21 perpustakaan desa akan dinaik taraf sebagai Perpustakaan Jalur Lebar Komuniti dimana sembilan daripadanya telah siap yang mendapat peruntukan RM5.5 juta.

“Manakala RM15.6 juta lagi untuk penyediaan 5,200 talian individu jalur lebar di kawasan-kawasan terpilih dan RM4 juta untuk penyediaan Akses Telekomunikasi Asas kepada Kumpulan Kurang Upaya yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya.

Katanya, disamping inisiatif Kerajaan Pusat, kerajaan negeri juga sedang melaksanakan beberapa insiatif dalam menyokong plan broadband nasional contohnya projek T@WAN – perkhidmatan jalur lebar wayarles serta bercadang menyediakan gentian fiber optic di semua pejabat daerah.

“Bagi meningkatkan liputan perkhidmatan selular SKMM sedang melaksanakan TIME 3 yang membabitkan pembinaan 98 menara baru, telah bermula pada suku keempat tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 2010,” katanya.

Menurut YB Yahya Khatib, perlaksanaan program TIME 3, membolehkan perkhidmatan selular diperluaskan ke semua kawasan penempatan penduduk terutamanya di kawasan luar bandar contohnya beberapa kawasan di Setiu, Hulu Terengganu, Dungun, Besut dan Marang.

“Dengan adanya seminar ini saya berharap agar garis panduan baru dapat digunapakai dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin oleh semua pihak yang terlibat dalam penyediaan kerja-kerja kejuruteraan sivil bagi infrastrukut telekomunikasi,” katanya.

Akhirnya, beliau berharap agar semua pembangunan hartanah di negeri ini akan dilengkapi kemudahan telekomunikasi yang mencukupi.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan