Khamis, 9 April 2009

Kerajaan Peruntuk RM2.2 Juta Kaji Ubi Gadong

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


IMBUHAN...Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menyampaikan peruntukan kepada pengusaha produk ubi gadong selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

KERAJAAN negeri meluluskan peruntukan RM2.2 juta bagi membiayai kajian mengenai penghasilan produk berasaskan ubi gadong yang akan dilaksanakan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata peruntukan bagi tempoh dua tahun dan sebagai permulaan sebanyak RM1 juta akan diperuntukkan tahun ini untuk membolehkan pihak UDM membuat kajian mengenainya.

Dato’ Ahmad turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM20,000 kepada dua pengusaha produk ubi gadong daripada Kampung Bukit Wan (RM10,000) dan Bukit Nenasi (RM10,000), Batu Rakit, sebagai dorongan kepada mereka melipatgandakan usaha menghasilkan produk makanan berasaskan ubi gadong.


Pokok ubi gadong menjadi kajian pihak UDM dan bakal dikomersialkan melalui penghasilan produk-produk makanan.

“Mengikut kajian UDM, terdapat 1,137 spesis ubi gadong di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (8 April).

Katanya, UDM akan membuat kajian dalam tiga bidang iaitu pengeluaran makanan, perubatan dan bahan untuk kegunaan tumbuhan seperti racun, di mana ketiga-tiga bidang ini berasaskan ubi gadong.

“Sebenarnya banyak kuih yang boleh dihasilkan daripada ubi gadong seperti kek, binka, onde-onde, puteri mandi, bait, kerepek, loklik, tepung gomak dan bubur yang dihasilkan secara tradisional serta `muffin’ yang dikeluarkan oleh UDM,” katanya.

Di samping makanan, ubi ini juga boleh dijadikan ubatan dan hasil kajian juga turut berpotensi menghasilkan bahan ubatan pencegah kehamilan, penyakit kencing manis dan penambahan hormon dalam badan.

“Mungkin suatu hari nanti ubi ini boleh diproses untuk dijadikan tepung dan dapat menggantikan tepung gandum untuk membuat lebih banyak produk,” katanya.

Menteri Besar juga turut menyarankan pihak UDM untuk membuat kajian bagaimana cara mempercepatkan proses makanan ini selain daripada secara tradisional yang dilakukan sekarang.

“Saya yakin kuih yang diperbuat daripada ubi gadong ini boleh diketengahkan dan berharap pihak Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) untuk membuat penjenamaan dan pemasaran bagi produk ini,” katanya.

Dato’ Ahmad seterusnya mengulangi hasrat untuk menjadikan makanan daripada produk ubi gadong ini sebagai makanan rasmi dalam majlis-majlis anjuran kerajaan negeri.

Katanya, pokok ubi gadong yang tumbuh berkeliaran mampu mengeluarkan hasil antara 10 hingga 25 kilogram ubi sepokok dan berharap dengan penemuan baru ini masyarakat kampung dapat menambah pendapatan keluarga.

Terdahulu, Menteri Besar telah menerima replika kunci rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin daripada Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH) Malaysia, Tan Sri Abi Musa Ashaari Mohd Nor.

Dato’ Ahmad melahirkan rasa bangga dan terima kasih kepada LTH yang telah membina 12 buah rumah PPRT untuk membantu rakyat miskin di negeri ini memiliki rumah sendiri.


Menteri Besar menerima replika kunci rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin daripada Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH) Malaysia, Tan Sri Abi Musa Ashaari Mohd Nor.

Rumah berukuran 560 kaki persegi telah siap dibina di Kampung Taman Tasek, Kuala Besut dengan harga RM25,000 sebuah dan merupakan projek perintis LTH.

“Saya amat mengalu-alukan sumbangan LTH kepada rakyat di negeri ini dan akan menyediakan tanah untuk kemudahan LTH membina lebih banyak rumah kepada keluarga miskin di negeri ini,” kata Dato’ Ahmad.

Sementara itu, Tan Sri Abi Musa Ashaari berkata di samping membantu golongan PPRT pihaknya turut membelanjakan RM100 juta subsidi kepada jemaah haji serta membantu golongan kurang upaya membiayai kaki palsu dan sebagainya.

Katanya, pihaknya akan meneruskan program PPRT di tempat lain selepas ini dan memberi keutamaan kepada keluarga miskin yang mempunyai tanah untuk membina rumah.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan