Khamis, 9 April 2009

Nurul Sa’adah Ceria Dilawati Isteri Pemimpin

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


CERIA...warga tua Nurul Sa'adah, Tok Dor, Besut, gembira selepas menerima kunjungan isteri Menteri Besar, To Puan Norliza Mahmud ke penempatan mereka. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

LAWATAN pertama kali isteri pemimpin nombor satu negeri, To’ Puan Norliza Mahmud ke penempatan warga tua Nurul Sa’adah, Tok Dor, Besut, menceriakan 60 penghuni dari seluruh Terengganu termasuk dari Kelantan yang tinggal di penempatan itu.

To’ Puan Norliza turut menyampaikan cenderahati kepada semua penghuni dalam lawatan rasmi beliau yang turut diiringi isteri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sempena lawatan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.


AMAN...To' Puan Norliza melawat kawasan perumahan penghuni Nurul Sa'adah.

Seorang penghuni, Mek Ibrahim, 77, dari Kampung Pasir Akar, yang sudah lebih dua tahun menetap di penempatan itu berhasrat untuk terus menghuni di Nurul Sa’adah sambil mendalami ilmu agama Islam menerusi guru agama sukarela yang mengajar di situ.

“Makcik rasa tenang dan selesa di sini bersama kawan-kawan. Boleh belajar agama, malah keluarga juga selalu menziarahi makcik walaupun tinggal berasingan.

“Suka jugak apabila ada tetamu datang dan buktikan sikap ambik berat kepada kami golongan tua,” katanya.

Sementara Saadiah Putih, 79, dari Kampung Tok Dor, Jertih, pula bersyukur dengan keprihatinan pelbagai pihak yang sentiasa menjaga kebajikan Nurul Sa’adah sejak dua tahun menetap di situ.


MESRA...penghuni Nurul Sa'adah berbual mesra dengan isteri Menteri Besar sambil melihat kawasan dalam rumah.

“Tok tiada masalah, ramai cakna dan ambil berat kebajikan kami di sini. Belajar agama pun mudah dan sekarang daripada kurang ilmu sudah semakin bertambah ilmu sejak tinggal di sini,” katanya.

Pengerusi Penempatan Nurul Sa’adah, Mohd Harun Husain, berkata kunjungan isteri Menteri Besar pada kali ini diharap memberi sinar baru kepada penghuni di situ yang kebanyakan daripada mereka datang daripada keluarga miskin dan sederhana.

Katanya, jika pada waktu pemerintahan pembangkang beberapa tahun lalu, isteri pemimpin pembangkang turut datang melawat tetapi mereka sekadar berkunjung dengan tangan kosong.

Bagaimanapun, beliau berbesar hati apabila kunjungan rombongan isteri Menteri Besar kali ini turut disertakan dengan sumbangan cenderahati berupa wang tunai dan hamper kepada penghuni.

Dalam pada itu, pertubuhan Kebajikan Warga Tua Nurul Sa’adah, Tok Dor yang ditubuhkan sejak 7 November 1998 menerima penghuni berusia 55 tahun ke atas yang sihat dan memiliki waris serta berminat mendalami ilmu agama.

Selain itu, penghuni di situ berpeluang mendapatkan bantuan khidmat nasihat, kemudahan serta memupuk silaturahim dan hidup bermuafakat.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

2 ulasan: