Isnin, 30 Mac 2009

10 penempatan baru di Telemong

Oleh: SURIATI ALI



Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong bakal menerima 10 penempatan baru selepas pemohon tanah Lay-Out mendapat hak milik tanah. membina rumah masing-masing.

Penempatan yang belum diberi nama itu berada di Kampung (Kg) Kuala Jeneris, Kg Pelam, Kg Nibong, Kg Tengkawang, Kg Payang Kayu, Kg Jenagor, Kg Baung, Kg Bukit Gemuruh, Kg Cheting dan Kuala Pueh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Telemong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Encik Rozi Mamat, meminta penduduk yang mendapat geran tanah dan membina rumah di kawasan berkenaan supaya bersatu hati menubuhkan jawatankuasa khas.

Katanya, apabila jawatankuasa diwujudkan, penempatan baru ini akan lebih tersusun dan sistematik, umpama perkampungan berada di kawasan bandar.
“Sebelum ini, setiap rumah dibina mengikut cita rasa pemilik dan tidak mementingkan faktor alam sekitar. Sebagai contoh, penduduk lebih gemar membina rumah membelakangi sungai atau jalan.

“ Apabila perkara itu berlaku, secara sendirinya sungai menjadi kotor selepas air kumbahan dibiarkan mengalir di kawasan itu selain sampah-sarap dibuang secara terbuka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jadual 5A Tanah Lay-Out Kampung Bukit Gemuruh, Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Seramai 78 daripada 107 pemohon layak menerima jadual 5A itu selepas berjaya memenuhi beberapa syarat yang dikenakan untuk memohon tanah itu. Manakala 29 pemohon lagi masih dalam proses kelulusan.

Tanah seluas lebih lapan hektar dipecahkan menjadi 107 lot itu adalah tanah bukit milik kerajaan negeri dan dipohon penduduk kira-kira 33 tahun untuk menjadi hak milik mereka.

Encik Rozi kesal dengan sikap segelintir pemilik tanah Lay Out yang bertindak menjual tanah kepada individu tertentu tanpa memikirkan risiko bakal dialami.

Katanya, mereka tetap berdegil walaupun mengetahui tindakan itu menyalahi Peraturan Dasar Tanah Negeri yang mensyaratkan supaya tidak boleh menjual kepada mana-mana individu dalam tempoh 10 tahun.

“Perkara itu terbongkar selepas pembeli tanah itu merujuk masalah kepada saya selepas tidak dapat menukar nama untuk mendapat hak milik.

“Sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil terhadap pemilik yang menjual tanah itu, tetapi Pejabat Tanah dan Daerah tidak akan membenarkan mereka untuk memohonnya buat kali kedua,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan