Selasa, 10 Mac 2009

Terengganu perkenal ‘T-Brand Shop’

Oleh: AIDA ABD RAHMAN

Kedai `T-Brand Shop’ ala `7 Eleven’ di Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu, yang menempatkan 70 peratus produk Industri Kecil Sederhana (IKS), akan dibuka April ini.

Projek perintis kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu menjadi platform bagi membantu pengusaha IKS seluruh Terengganu meningkatkan ekonomi mereka dan mengembangkan sektor IKS di seluruh Malaysia.

Rangkaian kedai berkonsepkan 24 jam menggunakan jenama produk Terengganu itu bakal dibangunkan di seluruh negara dan kerajaan sedang mengenalpasti lokasi strategik bagi menempatkan premis kedai berkenaan.



Selain produk IKS termasuk barangan kraf dan makanan sejuk beku seperti keropok, roti canai dan karipap segera, kedai itu turut menjual produk sampingan lain yang mampu menarik pelanggan seperti kad prabayar telefon, majalah, akhbar, alat tulis dan barangan penjagaan diri seperti ubat gigi serta sabun.



Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata kerajaan negeri mahu rangkaian kedai itu dijadikan platform memasarkan barang-barang keluaran IKS ke luar Terengganu.

"Aspek pemasaran banyak menjejaskan usaha penduduk menghasil dan memasarkan keluaran mereka, sebab itulah kita wujudkan rangkaian T-Brand Shop sebagai alternatif memasarkan barang-barang yang dihasilkan oleh penduduk tempatan ke luar Terengganu," katanya kepada wartawan GanuKita, di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Dato’ Mohamed berkata, selain di Kuala Terengganu dan Kemaman yang sudah dikenalpasti, kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM500,000 bagi mewujudkan kedai berkenaan di kawasan lain di sekitar Terengganu, di mana lokasinya sedang dikenalpasti.

Malah, peruntukan sebanyak RM40 juta juga telah diluluskan kerajaan negeri untuk portfolio projek pembangunan luar bandar, usahawan dan koperasi pada tahun lalu.

”Orang ramai berpeluang mendapatkan produk makanan dan kerja tangan daripada pengusaha kecil yang akan dijual sebagai produk utama.

“Pusat pengumpulan produk IKS juga akan diwujudkan di Pusat Hentian Rehat dan Rekreasi (R & R) untuk kemudahan orang ramai yang menggunakan laluan utama ke destinasi di seluruh negara,” katanya.

Malah, menurut Dato’ Mohamed, produk IKS juga akan dipantau secara menyeluruh di bawah satu bumbung apabila ditempatkan di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT), di Kampung Kubang Jela, Manir, yang bakal siap dalam tempoh 18 bulan lagi.

KUT yang dibangunkan di atas tanah kerajaan negeri berkeluasan 10 ekar dengan peruntukan RM25 juta merupakan konsep baru yang mampu membawa kelainan dalam konteks pembangunan sektor keusahawanan dan pembangunan usahawan negeri.

Selain ruang pameran, pusat reka bentuk dan ruang niaga, kompleks itu turut menempatkan pusat R & D batik, pusat kajian produk serta konsep perkedaian francais dan perkedaian khusus untuk produk tempatan.

“Ia antara kemudahan kepada usahawan untuk terus maju dalam bidang mereka sekaligus akan menyediakan peluang kepada mereka meluaskan pasaran produk masing-masing.

“Malah, KUT dijangka dapat mempercepatkan lagi pertumbuhan usahawan IKS negeri yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negeri,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan