Rabu, 11 Mac 2009

Kerajaan bantu 22,813 pelajar

Oleh: ESAH ABDULLAH

Seramai 22,813 pelajar tempatan menerima bantuan RM16.1 juta daripada kerajaan tahun lalu, bagi tujuan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Bantuan itu diberi kepada pelajar bagi membolehkan mereka melakukan persiapan awal untuk memasuki pusat pengajian tinggi atau sekolah asrama penuh, melalui peruntukan persediaan pendidikan.

Selain itu, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu, memberi pinjaman berjumlah RM36 juta bagi membiayai pengajian 3,540 pelajar di pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Pengarah YT, Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail, berkata tahun ini RM22 juta disediakan di bawah bantuan persediaan pendidikan, selepas mengambil kira bilangan pelajar cemerlang, terus meningkat setiap tahun.

Beliau berkata, semua pelajar negeri ini yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, diploma, matrikulasi, persijilan, asrama penuh dan tingkatan enam atas layak menerima bantuan berkenaan.

Pelajar yang mengikuti pengajian peringkat ijazah dan berada di tingkatan enam atas menerima bantuan RM1,000 seorang, diploma (RM750) dan masing-masing RM500 bagi kemasukan ke matrikulasi, persijilan dan asrama penuh.

“Tahun lalu sejumlah RM6.7 juta diberi kepada 6,904 pelajar yang mengikuti pengajian peringkat ijazah, diploma RM5.8 juta (7,940 pelajar) dan matrikulasi RM1.5 juta (3,133 pelajar),” katanya.

Bantuan RM1.2 juta disediakan kepada 2,850 pelajar yang melanjutkan pelajaran peringkat persijilan seperti di Kolej Komuniti, Politeknik, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Seramai 1,964 lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang berjaya memasuki asrama penuh dalam dan luar Terengganu diberi bantuan RM677,250.

Md Kamaru Al-Amin berkata, setiap pelajar yang mengikuti pengajian di luar negara akan menikmati anugerah biasiswa daripada pinjaman yang dibuat (tidak perlu bayar balik) jika mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun pengajian.

“Begitu juga pelajar dalam negeri yang memperolehi keputusan CGPA 3.75 dan ke atas, pinjaman akan dihapuskan dan mereka yang mendapat CGPA 3.50 hingga 3.74 akan diberi potongan 50 peratus pinjaman,” katanya.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan yang amat menitikberatkan bidang pendidikan anak-anak negeri ini, peruntukan yang besar disediakan berbanding bidang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan