Ahad, 15 Mac 2009

Wahdah Pemangkin Khaira Ummah

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Jabatan Kerajaan yang menyertai perarakan Maulidur Rasul dan Pelancaran Bulan Dakwah peringkat Negeri Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Pendekatan dan tugas berdakwah menjadi tanggung jawab setiap umat Islam dan tema ‘wadah pemangkin khaira ummah’ amat bertepatan dengan masyarakat hari ini kerana penyatuan dan perpaduan adalah tongkak utama dalam sesebuah negara.

Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman berkata demikian di majlis sambutan Maulidur Rasul dan Pelancaran Bulan Dakwah Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu semalam (9 Mac).

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan isteri To’ Puan Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Khazan Che Mat dan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan, Dato’ Mokhtar Nong.

Katanya, dalam masyarakat hari ini pelbagai agenda disusun untuk kepentingan masyarakat Islam yang dilaksanakan disetiap peringkat dan ia memerlukan muhasabah semua pihak supaya menjadi umat yang cemerlang dan disegani.


Kontijen Petronas berarak menuju ke Stadium Negeri dengan mengusung replika pintu gerbang.

“Sesungguhnya dalam meletakan sasaran menjadi khaira ummah memerlukan kepada komponen teras iaitu penguasaan ilmu yang dipimpin oleh iman dan takwa disamping komitmen sepenuhnya daripada individu dan masyarakat serta organisasi dalam sesebuah negara,” katanya.

Katanya, tanggung jawab melakukan yang terbaik serta mencegah yang mungkar tidak terbatas kepada golongan tertentu sahaja tetapi umat Islam seluruhnya dimana penyatuan dan perpaduan adalah aset utama sesebuah negara.

Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menyeru setiap lapisan masyarakat agar menjadikan sambutan ini satu wacana ke arah penyatuan bangsa yang lebih baik dan pepaduan adalah kunci kepada keamanan dan kejayaan sesebuah negara.

“Sesungguhnya dalam menjalani kehidupan kita sebagai seorang Islam seharusnya Nabi Muhammad S.A.W dijadikan panduan dan rujukan dalam melahirkan insan yang cemerlang,” katanya.

Katanya, sambutan Maulidur Rasul dan Bulan Dakwah yang diadakan serentak sebagai kesinambungan daripada pelaksanaan yang dibuat kali terakhir pada tahun 1978 dan dihidupkan semula atas kesedaran fungsi, peranan dan praktikal dakwah.

“Ianya sebagai satu medium berpengaruh yang dapat mencetuskan kesedaran dan keinsafan supaya menjadi hamba Allah yang patuh dan bertaqwa kepadaNya,” katanya.

Katanya, kerajaan telah mengatur program antaranya kempen solat berjemaah, wacana tokoh tharikat yang muktabar, seminar pengukuhan modal insan (akhlak) belia/remaja dan kempen halal hub kepada peniaga dan pengusaha kedai makan.

Majlis perarakan Maulidur Rasul dan pelancaran bulan dakwah disertai 92 kontijen dengan 3,800 peserta daripada jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, badan berkanun, swasta, pasukan berunifom, badan bukan kerajaan dan pelajar sekolah.

Kontijen Yayasan Islam muncul johan bagi anugerah khas perarakan dalam kategori jabatan kerajaan dan badan berkanun, menerima hadiah wang tunai RM2,000 beserta sijil, tempat kedua Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (RM1,500 dan sijil)) dan ketiga Yayasan Pembangunan Keluarga (RM1,000 dan sijil).


Peserta dari Pemint mengayuh beca roda tiga merupakan kelainan dalam perarakan sambutan Maulidur Rasul di Kuala Terengganu.

Kategori Kerajaan Pusat dimenangi Jabatan Imigresen (tempat pertama), Mardi dan Jabatan Pembangunan Persekutuan manakala kategori Sekolah Menengah dan Institut Pengajian Tinggi dimenangi Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin, SMA Khairiah dan Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato’ Razali.

Majlis Belia Negeri menenangi kategori syarikat swasta dan badan bukan kerajaan manakala Akademik Bomba Wakaf Tapai johan kategori badan berunifrom.

Bagi pertandingan menulis esei dimenangi Haji Awang Koding, menulis khutbah dimenangi Puan Shalisah Harun dan johan pidato dimenangi Mohd Rozikin Zakaria dari SMA Zainal Abidin dan johan bercerita dimenangi adik Aini Aizira Azman dari Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang, Marang.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan