Isnin, 30 Mac 2009

X-TCS Mantapkan Hala Tuju Terengganu

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad Said bermesra dengan bekas Pegawai Tadbir Negeri ketika hadir pada perasmian Mesyuarat Agung ke-5 Persatuan Bekas Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Primula Beach Resort. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

KERAJAAN negeri berharap bekas Pegawai Tadbir Negeri (X-TCS) dapat memberi pandangan bernas dan idea bagi memantapkan Hala Tuju Pembangunan Negeri Terengganu 2009-2013 berdasarkan portfolio tertentu.

Pengalaman dan kebolehan sepanjang berkhidmat dengan kerajaan dalam bidang masing-masing diharap dapat digunakan untuk memastikan pembangunan negeri dalam tempoh masa lima tahun lagi tercapai.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata kerajaan negeri sedang merangka `Hala Tuju Terengganu' dalam tempoh masa lima tahun akan datang dan peringkat pertama melibatkan sesi `brainstorming’ antara jawatankuasa dengan pegawai tinggi kerajaan sudah selesai.



Perjumpaan Menteri Besar dengan bekas TCS negeri diharap dapat memperkasakan lagi hala tuju Negeri Terengganu.

Katanya, peringkat kedua sedang disediakan secara terperinci berdasarkan teguran yang dibuat oleh ahli panel, manakala peringkat ketiga melibatkan sektor korporat, pakar-pakar dan pensyarah universiti serta mereka yang berkebolehan untuk menilai untuk dimuktamadkan hala tuju bagi setiap portfolio itu.

“Saya memberi tawaran kepada ahli persatuan bekas pegawai tadbir yang berpengalaman dalam bidang masing-masing, atas pengalaman ini kita minta mereka mewujudkan kalau ada beberapa puluh orang mintak wujudkan 10 kumpulan berdasarkan kepakaran masing-masing, kalau mereka berminat dalam bidang Kajian Tempatan dan Perumahan mereka boleh masuk kumpulan itu .

“Apabila kita panggil nanti, mereka boleh tengok `presentation’ yang dibuat, apakah teguran-teguran dan juga pandangan. Kalau dalam bidang pertanian, portfolio pertanian apakah yang sesuai, pengubahsuaian atau sudah baik,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-5 Persatuan Bekas Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, semalam (22 Mac).
Dato' Ahmad bermesra dengan Presiden Persatuan Bekas Pegawai Tadbir Negeri Terengganu.

Dato’ Ahmad berkata, penglibatan semua pihak termasuk bekas pegawai tadbir negeri diperlukan bagi memastikan kertas `Hala Tuju Terengganu’ padat, lengkap dan dikemaskini sebelum digunapakai.



Beliau berkata, `Hala Tuju Terengganu' dijangka dapat disiapkan pada Ogos ini sebelum dibentangkan dalam pembentangan Bajet 2010 di persidangan Dewan Undangan Negeri penghujung tahun ini.

Selain itu, Menteri Besar berkata, semua bekas pegawai tadbir yang terlibat akan dipanggil dari semasa ke semasa dan semua urusan perjalanan serta kemudahan mereka dalam setiap perjumpaan khas bagi membincangkan kertas `Hala Tuju Terengganu' akan dibiayai kerajaan negeri.

Unit Komunikasi Negeri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan