Rabu, 11 Mac 2009

Unit bergerak kutip cukai pintu

Oleh: ESAH ABDULLAH

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mewujudkan unit bergerak bagi mengutip cukai pintu, dalam usaha mengelak masalah tunggakan cukai pintu.

“Mungkin dengan cara ini kutipan cukai pintu dapat dilakukan lebih berkesan,” kata Datuk Bandar MBKT, Dato’ Mat Razali Kassim pada sidang media selepas menghadiri majlis Pengakuan Penerimaan Jawatan Ahli-Ahli majlis MBKT 2009 – 2010 di Wisma Permint, baru-baru ini.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan saranan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said baru-baru ini agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lebih proaktif untuk menggelakkan cukai tertunggak terlalu lama dan menjadi masalah kepada pihak pembayar sendiri.

“Dengan pendekatan yang diambil ini, masyarakat boleh membuat bayaran dengan lebih mudah kerana unit bergerak MBKT akan berada di tempat-tempat yang senang dikunjungi oleh orang ramai,” katanya.

Menurut Dato’ Mat Razali, sehingga ini sejumlah RM50 juta tunggakan cukai pintu sejak sekian lama dan pihak MBKT sudah mengeluarkan surat amaran (borang E) kepada individu, syarikat dan badan berkanun.

“Setakat ini MBKT berjaya mengutip RM3 juta pelbagai cukai setahun dan kebanyakan mereka terbabit akan membuat bayaran apabila menerima borang E daripada pihak kami,” katanya.

Menurut Dato’ Mat Razali, pihaknya juga akan mewujudkan tiga kawasan letak kereta bertingkat di sekitar bandar iaitu kawasan letak kereta kakitangan Wisma Darul Iman, di Stadium Sultan Ismail Nasharuddin Shah dan kawasan letak kereta Batas Baru.

“MBKT juga menerima peruntukan RM19 juta daripada kerajaan negeri untuk menjayakan aspek keceriaan dan kebersihan dalam kawasan bandar raya tahun ini,” katanya.

Dato’ Mat Razali seterusnya menyeru orang ramai memberi kerjasama untuk menjaga kebersihan dan MBKT akan mengenakan denda RM10 kepada mereka yang didapati membuang sampah di merata tempat.

Sementara itu, 25 orang termasuk 12 muka baru, dua daripadanya wanita yang mewakili parti UMNO dan MCA dilantik sebagai ahli majlis bagi tempoh 2009 – 2010 dan pengakuan menerima jawatan disaksikan Datuk Bandar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan