Ahad, 29 Mac 2009

Ilmu Sains Kupas Kebesaran Allah

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad memalu gong sebagai gimik perasmian Seminar Ulul Albab, Sains dan Astronomi Islam di Taman Tamadun Islam. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

KERAJAAN sedia membuka ruang dan peluang seluas-luasnya untuk generasi hari ini mempelajari ilmu Sains dan meneroka alam cakerawala kerana ilmu Sains mampu mengupas setiap kejadian serta ciptaan Allah Taala yang penuh hikmah.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, hasrat kerajaan membentuk generasi ulul albab yang menjadi pakar rujuk masyarakat selain aset yang penting kepada perancangan dan kemajuan masa depan negara.

“Orientasi keilmuan dan keimanan kental yang mendasari keperibadian ulul albab menjadikan mereka memiliki ketajaman akal fikiran malah hati sentiasa terpaut pada kebesaran Allah SWT,” katanya ketika merasmikan Seminar Ulul Albab, Sains dan Astronomi Islam, di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam (22 Mac).


Sebahagian pelajar yang menyertai Seminar Ulul Albab, Sains dan Astronomi Islam din Taman Tamadun Islam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Khazan Che Mat dan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof. Dr. Abdul Majid Mohd Isa serta pengetua sekolah-sekolah, pelajar Pusat Pengajian Tinggi (IPT) dan pelajar sekolah menengah.

Katanya, pembentukan genarasi ulul albab adalah menyatukan unsur ketuhanan serta nilai-nilai akliah sebagaimana acuan al-Quran telah meletakkan umat Islam sebagai pelopor kemajuan Sains dan pelbagai cabang ilmu.

“Penampilan Melayu berorientasi ulul albab dalam pelbagai cabang ilmu bukan sebagai elitis yang akhirnya lupa daratan sebaliknya sebagai ilmuan Melayu Islam yang amanah bersulamkan roh jihad untuk memajukan bangsanya,” katanya.


Dato' Ahmad bersalaman dengan tetamu yang hadir pada seminar itu.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan menjadikan konsep ini sebagai batu asas dalam perlaksanaan sistem pendidikan di sekolah Imtiaz dengan sistem pembelajaran yang menggabungkan Quranik (al-Quran) Ijtihadik (pembangunan sahsiah) dan Ensaiklopedik.

“Gabungan tiga konsep ini mendedahkan pelajar membaca dan menghafal al-Quran dengan baik dan betul serta memahami makna disamping menggalakkan mereka menyertai pelbagai aktiviti sihat bagi pembentukan sahsiah diri yang kreatif dan berani,” katanya.

Akhirnya, beliau merakamkan penghargaan kepada penganjur seminar iaitu UMT dan TTI yang berusaha keras merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan pelajar berpengetahuan tinggi dan mampu menguasai pelbagai bahasa.

“Kita perlu melahirkan sebanyak mungkin cendekiawan yang mantap ilmu dalam bidang Sains dan teknologi serta teguh keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah SWT dan bersemangat juang bagi memacu kemajuan dan pembangunan negara,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan