Khamis, 5 Mac 2009

TADC laksana projek berimpak tinggi

Oleh: ESAH ADBULLAH

Terengganu Agrotech Corp. Sdn. Bhd (TADC) sedang melaksanakan projek berimpak tinggi bernilai RM50 juta di Sungai Como, Tasik Kenyir, bagi membantu kerajaan membasmi masalah kemiskinan di negeri ini.

Projek ini merupakan usaha terbaru syarikat milik penuh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) itu yang ingin dikenali sebagai sebuah syarikat ‘trading house’ berasaskan pertanian berjaya, berteraskan nilai budaya tempatan dengan keupayaan bertaraf dunia, meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan.

Pengerusi Eksekutif TADC, Haji Razali Idris, berkata pihaknya berharap projek berkenaan mampu menghasilkan ikan bermutu menggunakan teknologi moden serta boleh mengawal jumlah pengeluaran mengikut keperluan pasaran.

Beliau berkata, fokus projek itu adalah pemuliharaan ikan air tawar dalam sangkar di Sungai Como, yang kini sedang memasuki fasa kedua.

“Bagi fasa kedua ini, sejumlah 2,000 sangkar membabitkan 100 peserta terdiri daripada graduan, belia dan keluarga miskin tegar (PPRT) diberi tugas merawat, mengurus, melaporkan dan memberi makanan,” katanya.

Perserta projek turut dilatih menjadi pengusaha penternak ikan yang berjaya dan mengembangkan perniagaan dengan komitmen padu mampu mewarnai corak kehidupan mereka.

Fasa pertama projek itu yang dilaksanakan sebelum ini hanya membabitkan 15 peserta dengan 200 sangkar dan mampu menghasilkan 180 tan ikan tilapia merah, siakap dan patin dengan harga pasaran antara RM7 hingga RM12 sekilogram.

Menurut Razali, setiap peserta mendapat elaun bulanan antara RM900 hingga RM1,200 manakala ‘bonus’ bagi keuntungan hasil jualan setiap pusingan pojek akan dibahagi sama rata.

“Sasaran kita, setiap peserta mampu memperolehi pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan sesudah dicampur dengan elaun bulanan dan agihan keuntungan yang pasti mereka tidak lagi berada dalam garis kemiskinan,” katanya.

Menurutnya, 500,000 benih ikan yang diperolehi daripada pengusaha ikan dari dalam dan luar Terengganu akan dipindahkan ke sangkar di mana setiap sangkar boleh memuatkan 1,500 anak ikan.

“Ikan terpilih seperti tilapia (40 peratus), siakap (30 peratus) patin dan baung (30 peratus) akan mula dimasukkan ke sangkar yang siap dibina pada penghujung bulan ini,” katanya.

Pembahagian sangkar mengikut sistem blok di mana 200 sangkar (satu blok) membabitkan 10 peserta terdiri seorang siswazah yang bertindak sebagai penyelia atau ketua blok manakala sembilan yang lain adalah belia dan keluarga PPRT.

“Dianggarkan setiap blok (200 sangkar) boleh menghasilkan purata 180 tan ikan, dengan tempoh matang berbeza mengikut spesis, contohnya ikan patin tempoh matangnya sekitar lapan bulan dan tilapia enam bulan dan siakap 12 bulan,” katanya.

Di samping mengeluarkan ikan TADC juga akan mewujudkan pusat penetasan ikan sendiri untuk menampung keperluan penternak ikan di dalam dan luar Terengganu.

“TADC juga akan membina rumah untuk peserta dengan konsep pembangunan berkelompok iaitu rumah berbentuk PPRT dan setiap peserta layak menduduki rumah tersebut selagi masih berdaftar sebagai peserta program,” katanya.

Katanya, peruntukan telah ada dan tapak telah dikenalpasti iaitu berhampiran projek dan kemudahan pengangkutan ke tempat projek akan disediakan TADC.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan