Rabu, 11 Mac 2009

Sebuah rumah seorang graduan

Oleh: Esah Abdullah



Kerajaan negeri yakin hasrat membentuk masyarakat berilmu dan rakyat bermaruah dengan meletak sasaran “Sebuah Rumah Seorang Gaduan” (SRSG) akan menjadi realiti, tidak lama lagi.

Usaha berganda yang berterusan oleh kerajaan melalui pelbagai institusi pendidikan dan latihan, mampu memberi impak besar bagi mencapai cita-cita tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Encik Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata kerajaan memberi komitmen besar untuk menjayakan hasrat berkenaan.

“Peruntukan RM149.11 juta akan dibelanjakan untuk pendidikan dan latihan bagi menambah nilai bidang pendidikan negeri tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan ini semata-mata ingin membina dan membangunkan generasi pelajar agar tahu merencana masa depan secara berhemah untuk keluarga dan negara.

Menurutnya, penambahan tiga bangunan fakulti baru di Tati Universiti College (TATiUC) di Teluk Kalong, Kemaman dengan peruntukan RM80 juta yang akan siap menjelang 2010 serta penambahan beberapa kursus kemahiran, antara usaha kerajaan menyediakan ruang lebih luas untuk anak tempatan menimba ilmu.

Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) di Bukit Kor, Marang juga mula menawarkan kursus bertaraf diploma di bidang automotif serta beberapa bidang kemahiran lain, satu kelebihan bagi rakyat tempatan.

“Malah mereka yang mengikuti kursus di Tesdec berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di TATiUC atau universiti lain mengikut bidang yang mereka ambil,” katanya.

Sebuah politeknik baru sedang dalam pembinaan di Hulu Terengganu yang dijangka siap pada 2011 menjadikan tiga politeknik di negeri ini iaitu Politeknik Kota, Kuala Terengganu dan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun.

Katanya, semua ini untuk menampung keperluan tempat pengajian khusus rakyat tempatan yang semakin hari semakin bertambah jumlahnya kerana meningkatnya bilangan pelajar cerdik di negeri ini.

Begitu juga dengan Terengganu Timber Industri Training Centre (TTITC) di Hulu Terengganu, melatih remaja lepasan sekolah yang tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke IPT.

Katanya, TTITC menyediakan kursus kemahiran di bidang perkayuan dan dengan sijil Jabatan Pembangunan Kemahiran, dulu dikenali Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan atau MLVK, yang diperolehi di sini, mereka layak memohon untuk melanjutkan pengajian keperingkat diploma atau ijazah di TATiUC Kemaman.

“Peluang dan ruang dibuka seluas-luasnya untuk membolehkan pelajar mencari hala tuju kehidupan yang lebih baik dan jika mereka kuat berusaha mereka layak mengikuti jejak sahabat yang cemerlang dan dapat masuk universiti,” katanya.

Melalui Yayasan Terengganu, bantuan melanjutkan pengajian ke IPTA disediakan dan RM8 juta disediakan termasuk bantuan kepada pelajar tingkatan enam atas yang tidak mendapat biasiswa, diberi tunai RM1,000 setiap orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan