Khamis, 5 Mac 2009

Akademi GPMS bakal beroperasi

Oleh: SURIATI ALI

Akademi Kepimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Batu Rakit, Kuala Terengganu, yang bakal menjadi tempat belia menjalani pelbagai kursus kepimpinan dan motivasi, mula beroperasi Mac ini.



Sehingga ini, fasa pertama projek yang dimulakan Disember 2004 itu hampir siap.
Pengerusi GPMS negeri yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata walaupun pembinaan akademi bernilai RM8.1 juta itu dijangka siap sepenuhnya awal 2010, akademi itu akan dibuka secara berperingkat.

“Bagi menyahut saranan kerajaan supaya mempelbagaikan program belia, GPMS mengambil keputusan menyegerakan penggunaan akademi ini walaupun baru fasa pertama disiapkan.

“Apabila beroperasi kelak, pelbagai aktiviti berfaedah termasuk kursus kepimpinan dan motivasi akan dirancang bertujuan menyedarkan golongan belia supaya tidak leka dengan kehidupan dunia dan arus permodenan,” katanya.

Fasa pertama projek itu mengandungi asrama lelaki dan perempuan, kantin dan dewan besar manakala fasa kedua membabitkan bangunan asrama tambahan untuk lelaki dan perempuan, pejabat pentadbiran dan surau.

Mohd Nasir berkata, pembinaan akademi memberi pelbagai manfaat kepada GPMS kerana ia bukan sahaja menawarkan kursus kepada belia malah menjadi sumber kewangan di atas perkhidmatan sewaan bangunan.



“Mana-mana pertubuhan atau persatuan yang ingin menggunakan akademi ini boleh menghubungi bahagian pentadbiran GPMS dan sewa yang dikenakan berpatutan,” katanya.

Menurutnya, GPMS bangga kerana akademi itu merupakan yang terbesar serta termoden di negara ini dan bakal menjadi lokasi tumpuan bagi menjalankan pelbagai aktiviti untuk belia berusia bawah 40 tahun.

Sementara itu, Timbalan Presiden GPMS, Syed Anuar Syed Mohamed, berkata bermula 6 hingga 7 Mac ini, GPMS Terengganu akan menganjurkan Kursus Pemukiman Kepimpinan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun.

“Kursus melibatkan 30 ahli jawatankuasa GPMS itu bakal membentangkan tiga kertas kerja oleh individu berpengalaman.

“Tajuk kertas kertas kerja itu adalah penubuhan Koperasi Warisan GPMS Terengganu Berhad, pelaksanaan program pemantapan aktiviti di akademi kepimpinan dan penyediaan pelapis kepimpinan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan