Isnin, 30 Mac 2009

Firefly pacu ekonomi negeri

Oleh: AIDA ABD RAHMAN

Penerbangan dua hala yang ditawarkan syarikat penerbangan komuniti pertama negara, Firefly (Sdn Bhd) dari Kerteh – Subang menjadi tulang belakang bagi meningkatkan lagi sektor pelaburan berasaskan minyak dan gas serta pelancongan di Terengganu.

Perkhidmatan dua kali sehari mulai Isnin hingga Khamis mampu menjimatkan masa pekerja industri sekitar Kemaman dan orang ramai yang tinggal berhampiran Lapangan Terbang Kerteh untuk berulang-alik ke Kuala Lumpur.

Malah, Firefly dengan kerjasama kerajaan negeri juga sedang berusaha meluaskan rangkaiannya untuk mengadakan penerbangan terus Kuala Terengganu –Singapura menjelang Jun depan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata usaha Firefly menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran terutama di sekitar Kemaman dan Dungun mampu memacu industri minyak dan gas di Terengganu.

“Firefly yang membawa kira-kira 70 penumpang dalam penerbangan pertama ke Kerteh pada 12 Februari lalu juga dapat meningkatkan sektor pelancongan negeri pada masa depan serta menjadi tulang belakang ekonomi,” kata beliau ketika melancarkan Penerbangan Firefly ke Kerteh, di Lapangan Terbang Kerteh, Kemaman, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib dan Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman.

Dato' Ahmad berkata, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif bagi menarik lebih banyak syarikat penerbangan dalam negara serta asing untuk mengadakan penerbangan terus ke Kuala Terengganu, termasuk mengecualikan bayaran pendaratan, bayaran parkir dan cukai lapangan terbang.

Dalam pada itu, laluan terbaru yang pertama ditawarkan oleh Firefly menjadikan penawaran dua destinasi ke Terengganu termasuk Kuala Terengganu-Subang yang bermula April 2007 lalu.

Pengarah Urusannya, Eddy Leong berkata, laluan baru ini merupakan komitmen berterusan Firefly menambah rangkaian serta menyediakan penerbangan alternatif dan murah kepada orang ramai.

''Objektif utama kami adalah menyediakan pengangkutan alternatif keluar masuk Kerteh yang lebih ekonomik dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.

''Selain itu, laluan Kerteh ini dapat memudahkan orang ramai pergi bercuti kerana terdapat destinasi pelancongan terkenal di kawasan berhampiran seperti Kijal, Cherating, Teluk Gadung dan Pulau Tenggol yang terletak beberapa minit sahaja daripada Lapangan Terbang Kerteh,'' katanya.

Nilai terbaik tambang murah Firefly termasuk 20 kilogram (kg) bagasi dibenarkan untuk daftar masuk, tempat duduk yang ditetapkan selain makanan dan minuman ringan disediakan dalam pesawat termasuk pesawat baru ATR72-500.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan