Isnin, 30 Mac 2009

Pendekatan sesuai dengan status perbandaran

Ahli Majlis Perbandaran Dungun (MPD) harus memainkan peranan menterjemahkan kepada orang ramai yang masih berfikiran sempit dan kabur mengenai peruntukan undang-undang dan kualiti pengurusan majlis perbandaran.



Wakil Khas kepada Menteri Besar merangkap Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan, berkata beberapa nilai pendekatan yang sesuai dengan status majlis perbandaran juga perlu diambil kira oleh semua ahli majlis perbandaran termasuk melunaskan tuntutan rakyat.

Dato’ Rosli juga mengingatkan ahli majlis supaya mewujudkan keserasian sesama ahli untuk menguruskan undang-undang dan membina kepimpinan yang bijaksana bagi menyelesaikan pelbagai masalah terutama melibatkan rakyat.

“Agenda utama panel Dungun Membangun sejak penubuhannya termasuk bagaimana hendak menjadikan Dungun sebagai kawasan perbandaran dan akhirnya dapat direalisasikan pada 20 Ogos 2008 lalu.

“MPD harus lebih `struggle’ dengan mencari sumber pendapatan sendiri seperti bayaran TNB (Tenaga Nasional Berhad) serta pembangunan di pesisiran pantai di Paka yang mana pelaksanaanya dapat diterjemahkan di peringkat perbandaran,” katanya pada majlis Terima Jawatan Ahli Majlis Perbandaran Dungun (MPD), di Dewan MPD, Dungun, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib dan Yang Dipertua MPD, Encik Zainal Abidin Hussin.

Seramai 22 Ahli Majlis MPD mengangkat sumpah dan menandatangani surat perakuan menerima tugas masing-masing.

Pada masa yang sama, Dato’ Rosli juga menasihatkan supaya ahli majlis tidak mengabaikan tiga aspek utama yang menjadi asas kepada perbandaran, iaitu kebersihan, pembinaan disiplin rakyat serta permuafakatan.



Katanya, pemilihan ahli majlis dari pelbagai latar belakang termasuk pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, pemimpin politik, Ahli Bukan Kerajaan (NGO), aktivis, pendidik dan usahawan mampu menjadikan ahli majlis yang berkualiti tinggi dan mampu memantapkan MPD dalam semua aspek.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Dungun Membangun sedang berusaha memastikan dua projek dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) yang masih di peringkat awal iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bukit Tiong dan kampus UiTM Bukit Besi dapat direalisasikan segera.



“Prasarana menjadi teras kepada pembangunan di MPD. Saya sedang berusaha supaya projek membina MRSM Bukit Tiong menerusi RMK9 yang sudah dibuat `designnya’ dapat dibuat rundingan terus dengan syarikat tempatan (pemaju).

“Pembinaan Kampus UiTM Bukit Besi yang bernilai RM54 juta bagi fasa I akan direzabkan dan diserahkan kepada UiTM, selain tapak pembinaan akan dilawati oleh Menteri Pengajian Tinggi nanti bagi melihat perkembangan projek ini,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan