Ahad, 29 Mac 2009

Sehari MB Dampingi Rakyat

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said memasang dan memaku sendiri atap rumah bagi menggantikankan yang baru pada rumah seorang penduduk di Maras, Batu Rakit. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


BERKONGSI kepayahan, mengayuh basikal bertemu penduduk kampung dan memanjat bumbung rumah untuk menukar atap dan akhirnya sama-sama mengesat peluh sambil menghirup air di warong kopi.

Itulah yang telah dilakukan dan ingin diteruskan oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said selagi ada hayat di badan untuk menyelami dan mendampingi rakyat yang telah mengangkat beliau pada kedudukan sekarang.

Program sehari bersama Menteri Besar, yang disusun sedemikian rupa ternyata memberi suatu kelainan kepada masyarakat apabila berpeluang melakukan kerja dan berkomunikasi secara telus dengan pemimpin tertinggi negeri.



To' Puan Norliza Mahmud menanya khabar seorang penduduk ketika meninjau sebahagian Kampung Maras.

Tempat pilihan adalah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Parlimen Setiu dan seawal jam lapan pagi penduduk kampung sudah menerima kehadiran tetamu istimewa iaitu Dato’ Ahmad Said dan isteri To’ Puan Norliza Mahmud diikuti wakil rakyat kawasan berkenaan YB Haji Khazan Che Mat dan isteri, Hajah Nik Aini Nik Soh.

Program bermula dengan bergotong-royong bersama penduduk Kampung Maras dan Wakaf Catur menggantikan atap rumah yang rosak dikuti dengan majlis penyerahan geran tanah kepada 56 penduduk tempatan.


Menteri Besar menandatangani plug perasmian Pasar Maras.

Menteri Besar kemudiannya menunaikan solat zohor di masjid Kampung Bukit Wan dan makan tengahari, hidangan gulai kawah yang dimasak secara gotong-royong di Padang Bola Kampung Gong Lingai.

Selain itu, Menteri Besar turut menanam kelapa sawit di bawah program meningkatkan pendapatan rakyat di kampung Lingai dan membuat penyerahan 1,280 anak kelapa sawit kepada 64 peserta.

Pelbagai acara termasuk pertandingan sukanika, masakan tradisional, gubahan sirih, junjung, demontrasi memproses laksa secara tradisi turut menjadi tumpuan lebih 3000 penduduk sekitar.

Paling menyeronokkan apabila makanan kegemaran Menteri Besar ketika kecil iaitu ubi gadong dihidangkan pada majlis minum petang. Malah pelbagai kuih dihasilkan daripadakan ubi gadong turut disediakan seperti kuih lapis, puteri mandi serta bubur.


Dato' Ahmad mencuba membuat laksa cara tradisional.

Walaupun dalam keadaan hujan pada sebelah petang, beberapa acara termasuk pertandingan bola jaring tetap diteruskan dan Menteri Besar tidak melepaskan peluang turun ke padang yang basah untuk mengambil bahagian dalam perlawanan futsal antara pasukan Menteri Besar bertemu pasukan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang menggabungkan empat kampung, iaitu Bukit Wan, Bukit Nenasi, Lingai dan Gong Lingai.

Selesai solat Maghrib, tahlil dan tazkirah di Masjid Kampung Maras, Menteri Besar kemudian merasmikan Dewan Serbaguna dan Pusat ICT Kampung Maras.

Unit Komunikasi Negeri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan