Selasa, 10 Mac 2009

Kuala Berang Bakal Bandar Satelit

Oleh: Farezul Fadzal

Bandar Kuala Berang yang dikenali ‘Bandar Di Bawah Tasik’, mengalami perubahan ketara sejak lima tahun lalu. Persekitaran bandarnya yang bersih dan tersusun, menggalakkan lebih banyak peluang perniagaan diwujudkan di bandar berkenaan.

Sejak kebelakangan ini, bandar itu mengalami masalah kesesakan lalu lintas yang ketara ketika waktu puncak. Ini menunjukkan fungsi bandar itu perlu ditingkatkan dengan menaik taraf pelbagai kemudahan sedia ada.

Sehubungan itu, satu kertas kerja perancangan bandar yang komprehensif (pelan induk) untuk memastikan pembangunan di bandar Kuala Berang lebih sistematik, diwujudkan dengan meletakkan sasaran menjadikannya Bandar Satelit dalam tempoh 10 tahun akan datang.



“Saya tubuhkan satu jawatankuasa daerah dengan kerjasama Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) bagi menyelesaikan masalah pelaksanaan dan perancangan pembangunan secara tersusun pada masa depan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, Encik Mohd Zawawi Ismail, kepada GanuKita, baru-baru ini.

Bagi tujuan itu, pada 2006 satu pelan induk disiapkan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, termasuk MDHT dan ia mula digunapakai pada 2007.

“Kita sediakan dua pelan induk, pertama bagi tujuan penyusunan semula bandar dan kedua untuk tebatan sungai dan banjir,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa, Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri.

Dengan adanya perancangan rapi, fungsi bandar itu yang menjadi tumpuan penduduk di daerah Hulu Terengganu sejak sekian lama bakal setaraf dengan bandar lain di Terengganu.

“Umum sedia maklum, bandar Kuala Berang agak terkebelakang berbanding bandar lain di negeri ini seperti Kemaman, Besut dan Kuala Terengganu,” katanya.

Menceritakan visi tersebut, beliau yang sinonim dengan panggilan “Cikgu Awie” di kalangan penduduk tempatan turut mengharapkan agar dana khas kerajaan negeri, memberikan peruntukan lebih besar ke daerah tersebut.



Beliau berkata, ia penting dalam memastikan segala projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sempurna dan mampu memberi perkhidmatan baik kepada lebih 70,000 penduduk daerah itu.

Sehingga ini, katanya, kira-kira 15 peratus dari perancangan yang terdapat dalam pelan induk itu, sudah dilaksanakan di bandar berkenaan.

Ini termasuk pembinaan pasar moden berharga RM7 juta kini giat dilaksanakan dan mencapai 30 peratus siap. Selain itu, sebuah terminal hentian bas bersepadu bakal dikenali KB Sentral juga sedang rancak dibina.

“Bazar Mara juga dibina bagi memberi lebih banyak peluang perniagaan kepada Bumiputra dan pihak MDHT juga membina sebuah hotel bajet di bandar Kuala Berang yang kini siap 90 peratus,” katanya.

Melalui perancangan strategik itu, bandar Kuala Berang akan menjadi pusat perniagaan utama dan mampu menarik lebih banyak pelabur ke bandar itu.

Ini diakui sendiri oleh Cikgu Awie apabila beberapa pihak swasta menunjukkan minat untuk membuka premis perniagaan dalam sektor perhotelan serta pusat membeli belah di bandar tersebut.

“Kita ada buat perbincangan dengan pihak-pihak tersebut, tetapi masih di peringkat awal, jadi tidak boleh ceritakan lebih-lebih,” jelasnya.

Cikgu Awi berkata, kewujudan pusat membeli belah serta lain-lain entiti perniagaan di bandar Kuala Berang perlu bagi menampung permintaan penduduk tempatan seterusnya memberi lebih banyak pilihan pada harga lebih murah.

“Di bandar Kuala Berang memang ada beberapa pasar mini, tetapi lebih kepada keperluan harian dan yang kita minta kemudahan ini bagi golongan sederhana membeli pakaian dan keperluan lain.



“Kebanyakan barang-barang untuk membuat rumah yang dijual di bandar ini masih mahal berbanding di Kuala Terengganu, padahal jarak di antara dua bandar hanyalah memakan masa 40 minit sahaja,” ujarnya.

Menceritakan perkembangan program bersama penduduk kampung, Cikgu Awie berkata setiap tahun beliau akan menyertai program yang melibatkan pemimpin dan rakyat.

“Ini tidak kira yang kita jumpa setiap hari secara peribadi, apabila berlaku kematian, sakit atau bencana alam. Dapat maklumat kita pergi. Bantu orang kampung,” katanya.



Kebiasaan program itu diadakan pada awal tahun, termasuk program mengacau asyura, sambutan Maulidul Rasul yang melibatkan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Alhamdullilah, bukan tidak ada masalah tetapi berbanding dulu, masalah yang diterima dari orang kampung kini agak berkurangan kerana setiap kali kita terima laporan kita akan selesaikan secepat mungkin,” jelasnya.

Namun begitu, beliau berharap masyarakat kampung perlu mengubah minda dan tidak selalu mengharapkan bantuan kerajaan.



“Sekarang dah jadi macam simptom, apabila rumah rosak seperti atap bocor, baiki rumah, kebanyakan penduduk mahu minta dibantu segera tanpa usul periksa,” jelasnya.

Sedangkan bantuan yang disediakan kerajaan untuk diberi kepada golongan tidak mampu bukannya golongan berkemampuan.

“JKKK mesti melihat perkara ini sedalam-dalamnya dan jangan terpedaya,” katanya.



Beliau kini memberi tumpuan membantu golongan tidak berkemampuan yang kebanyakannya tinggal dalam satu keluarga besar.

“Ada dalam satu rumah, empat keluarga tinggal. Rumah sudahlah kecil, keluarga pula berpendapatan rendah, maka kita memberi tumpuan untuk membantu golongan keluarga seperti itu,” katanya.

1 ulasan:

  1. adakah pendapatan peniaga di sekitar kualaberaang-kg telag akan terjejas disebabkn pembangunan lebuhraya

    BalasPadam