Rabu, 11 Mac 2009

Seni rodat masih ampuh

Oleh: AIDA ABD RAHMAN



Setiap negeri di Malaysia memiliki tradisi seni persembahan yang masih kekal sehingga kini. Melaka gemalai dengan dondang sayang, Johor tangkas dengan tarian Kuda Kepang, Kedah asyik menerusi dendangan Ghazal Parti, Pulau Pinang rancak dengan boria, Selangor nyaring dengan keroncong, Kelantan lantang dengan dikir barat serta wayang kulit, manakala Terengganu pula unik dengan kelembutan lenggok dan nyanyian rodat.

Rodat merupakan hiburan tradisi yang mempunyai fungsi sosial berhubung dengan pengisian kehidupan bermasyarakat. Pantun dan sajak yang dinyanyikan dalam persembahan rodat mempunyai peranan dan pengaruh yang agak signikan.

Dalam konteks ini, pantun dikonsepsikan sebagai satu bentuk nasihat, adat, berbudi bahasa, jenaka, kasih sayang yang disampaikan dalam bahasa yang berirama serta indah dan mengasyikkan.

Seni persembahan tradisional ini adalah satu bentuk persembahan kesenian yang popular di kalangan masyarakat Terengganu dan dipersembahkan di majlis perkahwinan, kenduri-kendara, berkhatan, musim menuai, hari kebesaran diraja dan pesta kebudayaan.

Pegawai Penyelidikan dan Inovasi Akademi Seni Negeri Terengganu (Aseni), Cik Nurul Nadia Narindi, berkata ia dipersembahkan dalam bentuk tarian, nyanyian serta paluan alat muzik yang dipanggil rebana tar atau tar rodat.

Beliau berkata, seni warisan pusaka nenek moyang yang mengalami perkembangan dan pembaharuan ini tidak dapat dibuktikan bila dan dari mana asalnya.

Namun begitu, menurut satu catatan di dalam Buletin Warisan (Mac 1979), Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu menyebut bahawa pada awal abad ke-19 didapati ada pedagang dari Sambas dan Pontianak datang ke Terengganu untuk membeli budu, songket serta perkakas.

“Mereka berkumpul dalam kumpulan lebih kurang 20 orang sambil menyanyi-nyanyi (rodat) diiringi dengan sebuah alat muzik yang dipanggil rebana tar hingga lewat malam.

“Penduduk tempatan (Terengganu) tertarik mempelajari persembahan rodat selepas mendengar alunan lagu (rodat) serta suara lunak bersama-sama tepukan alat muzik itu sehingga ianya menjadi sebati dan tersohor dan berkembang dalam masyarakat,” katanya.


Dipercayai bahawa kawasan atau kampung yang mula-mula diperkenalkan seni rodat di daerah Kuala Terengganu adalah di Kampung Pasir Panjang dan Gong Tok Nasek.

Menurut Cik Nadia, setelah seni rodat ini masyhur dan popular di kalangan penduduk di Kuala Terengganu, ia tersebar di tempat lain seperti di Kampung Surau Panjang, Beladau, Kepong, Paya Resak dan beberapa tempat lain.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, hanya terdapat sebuah kumpulan rodat sahaja yang masih aktif menjalankan aktiviti persembahan ini, iaitu Kumpulan Rodat Kampung Surau Panjang, manakala yang lain telah berkubur begitu sahaja tanpa diwariskan kepada golongan muda.

Penggiat Rodat Kampung Surau Panjang, Razak Senik atau `Pok Jak’, 57, berkata kesenian rodat masih lagi berjaya dipertahankan kerana beliau terus memperjuangkannya sehingga kini.



“Saya sayangkan seni warisan ini. Malah, saya tekun memberi latihan dua kali seminggu kepada anak muda dan mereka mampu menguasai kemahiran persembahan rodat dengan tunjuk ajar saya,” katanya ketika ditemui GanuKita di tempat latihan rodat, di Kampung Surau Panjang, baru-baru ini.

Pok Jak mula menceburi bidang itu sejak berusia 16 tahun daripada seorang pelopor seni itu yang digelar sebagai `Pok Mi’ di kalangan penduduk kampung. Seni rodat yang dipersembahkan Pok Mi dan kumpulannya ketika itu menyebabkan kawasan sesak dengan penduduk tempatan yang setia menanti hingga tamat persembahan.

Katanya, ketika itu rodat membawa banyak lagu dan mengambil masa sehingga enam dan tujuh jam lamanya, berbanding sekarang hanya sejam atau lebih dalam satu-satu persembahan kebudayaan dan majlis keraian.

Menurut Pok Jak, selepas dua tahun mengikut tunjuk ajar Pok Mi, Pok Jak kemudiannya menurunkan pula ilmu kepada rakan sebaya serta golongan muda yang lain dengan hasrat seni itu terus berakar umbi hingga bila-bila.

Umumnya persembahan rodat terdiri daripada beberapa peringkat atau fasa persembahan. Namun pada dasarnya di awal penubuhan kumpulan rodat di Terengganu hanya terdapat dua watak atau kumpulan utama iaitu kumpulan pengadi selaku penepuk tar yang terdiri daripada golongan lelaki dan kumpulan pelenggok sebagai penyanyi dan penari yang juga daripada golongan lelaki.

Perubahan telah berlaku di era 40-an dengan memperkenalkan watak Mak Inang sebagai penari dan penyanyi yang terdiri daripada golongan wanita. Sehinggalah hari ini, corak persembahan rodat telah banyak mengalami perubahan sama ada dari segi struktur organisasi, lagu dan juga cara persembahan.



Menurut Pok Jak, biasanya struktur kumpulan utama rodat yang dipeloporinya terdiri daripada enam hingga lapan orang pengadi (pemukul rebana), lapan pelenggok (penari) dan lima orang mak inang.

“Kebiasannya, persembahan rodat dimulakan dengan kumpulan pengadi bersama pelenggok akan menyampaikan sebuah lagu pembuka pentas,” kata Pok Jak yang bekerja tetap sebagai penjaja keropok .

Katanya, lagu yang sering digunakan ialah lagu selawat yang dipersembahkan dalam posisi duduk selama kira-kira lima belas minit. Setelah lagu pembukaan pentas dinyanyikan, lazimnya ketua pengadi akan memulakan persembahan dengan `Bismillahi Muala Nab Tadaina’ iaitu sebuah bentuk zikir selepas lagu selawat dinyanyikan.

Kemudian para pengadi akan mengulangi fasa ini sambil disahut oleh pelenggok. Begitulah seterusnya di mana lagu-lagu berbentuk puji-pujian kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW yang dinyanyikan secara beramai-ramai oleh pelenggok sambil sesekali disahut oleh pengadi dengan iringan paluan rebana tar.

Seorang pelapis seni berkenaan yang juga anak didik Pok Jak, Mohd Hafizi Din, 16, berkata dia amat meminati seni rodat dan sudah empat tahun berjinak-jinak dengan seni itu sebagai pengadi (pemukul rebana).

“Saya tak mau seni ini hilang begitu saja tanpa ada pewarisnya. Sebab itulah saya bersungguh-sungguh menyertai kumpulan rodat ini dan akan meneruskannya sehingga dewasa kelak. Malah, saya harap lebih ramai rakan sebaya menyertainya,” katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Kumpulan Rodat Kampung Surau Panjang sudah menyertai pelbagai pertandingan dan persembahan peringkat nasional mahupun antarabangsa seperti di Hong Kong, Taiwan dan Singapura.

Menurut Pok Jak, seni yang mengetengahkan lagu-lagu yang bersahut-sahutan yang diungkap dalam bahasa Arab yang dipetik dan disalin daripada kitab Hadrah.



Oleh yang demikian, sesetengah pendapat ada menyatakan bahawa seni persembahan rodat ini berasal dari Tanah Arab. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi apabila dilihat perkataan rodat itu sendiri wujud dalam perbendaharaan kata Arab yang membawa maksud berulang-alik, bersahut-sahutan, bersatu kembali atau juga berbalas-balas.

“Seni tradisional rodat ini adalah keunikan dari segi persembahan dan mesej yang ingin disampaikan serta diperkuatkan lagi dengan seni yang berunsurkan Islam serta sangat dihormati kerana merakamkan pujian kepada Tuhan dan sejarah hidup para Rasul, “kata Pok Jak lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan