Ahad, 15 Mac 2009

Pelajar Aseni Lanjut Pelajaran ke IPTA

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Pelajar Aseni mampu mengadakan persembahan yang hebat dan mantap hasil daripada ilmu seni muzik yang dipelajari di akademi itu. Gambar kecil Tengku Mohd Arifin.

Pelajar Akademi Seni Terengganu (Aseni) berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan ijazah dalam bidang khas seni muzik di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebaik tamat latihan di akademi itu dua tahun lagi.

Sekumpulan 26 pelajar Aseni bagi kemasukan Februari lalu harus menghabiskan 60 jam kredit dalam tempoh dua tahun sebagai syarat utama sebelum meneruskan pengajian mereka di IPTA seperti Universiti Teknologi Mara, Universiti Perguruan Sultan Idris dan Akademi Seni Kebangsaan.

Pemangku Pengarah Aseni, Tengku Mohd Arifin Tengku A Rahman, berkata kerajaan negeri mengambil inisiatif itu bagi memastikan pelajar Aseni dapat meningkatkan ilmu dalam bidang muzik mereka dengan lebih mendalam.

Katanya, pengambilan Aseni untuk kali keenam pada bulan lalu merupakan pengambilan sulung yang berpeluang meneruskan pelajaran di peringkat lebih tinggi selepas Aseni mendapat pengiktirafan Malaysia Qualification Agency (MQA).

Beliau berkata, sejak pengambilan pertama pada Ogos 2006 lalu, pelajar Aseni harus menghabiskan latihan mereka selama setahun, kini mereka harus menghabiskan pelajaran dalam masa dua tahun dengan 60 jam kredit.

“Semoga pelajar yang lahir dari Aseni dapat mengembangkan bakat dan kebolehan mereka di peringkat lebih tinggi, sekaligus berupaya memartabatkan warisan seni Terengganu.

“Kita tidak menekankan kuantiti, sebab itu kita mengehadkan pengambilan disebabkan pelbagai faktor dan mengutamakan kualiti yang dihasilkan daripada perancangan rapi kerajaan negeri dalam memartabatkan industri seni tanah air,” katanya.

Selain itu, Aseni yang dipantau Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Haji Husain Embong, akan bergerak seiring dengan program pelancongan negeri termasuk bercadang mengadakan persembahan kebudayaan yang bergabung dengan penggiat kebudayaan lain seperti Briged Seni Muzium Negeri.

Katanya, Aseni juga merancang untuk mengadakan persembahan seperti kombo lagu-lagu rakyat secara berjadual di pentas kebudayaan di pekan budaya atau Bazar Warisan.


Pelajar Aseni ketika mengadakan persembahan di Program Sua Rasa 2009 di Syahbandar, Kuala Terengganu. Gambar GK

Unit Komunikasi Negeri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan