Isnin, 30 Mac 2009

Bukan mudah jadi isteri pemimpin

Oleh: SURIATI ALI

Memegang peranan sebagai isteri pemimpin bukan semudah yang disangka, kerana masalah rakyat sama ada kecil atau besar, mesti dihadapi bersama suami.

Hakikat ini diakui Puan Nik Aini Nik Soh, 30, isteri kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Batu Rakit, Haji Khazan Che Mat.



Puan Nik Aini yang berasal dari Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit itu berkata beliau sentiasa memberi sokongan dan memahami tugas suami, walaupun kadangkala terpaksa berjauhan sehingga dua minggu kerana Haji Kazan menghadiri mesyuarat dan menjalankan tugas di dalam dan luar negara.

“Sepanjang ketiadaan YB di Dewan Undangan Negeri (DUN), saya berperanan menjadi wakil bagi melaksanakan pelbagai tugas, termasuk menziarah penduduk kawasan yang kematian saudara, melawat pesakit dan menghadiri kenduri kahwin serta majlis kesyukuran.

“Saya suka dengan tugas yang diamanahkan itu walaupun pada mulanya agak kekok dan segan. Keadaan itu mungkin disebabkan tiada pengalaman memegang jawatan dalam pertubuhan atau persatuan,” ketika ditemubual GanuKita di rumahnya di Taman Kalungan Budi, Padang Nenas, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Hasil perkongsian hidup selama 10 tahun dengan Haji Khazan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Madihah, 9; Mahirah, 7; Musyidah, 5, dan anak lelaki tunggal, Muhammad Ziyad, baru berusia setahun.

Madihah dan Mahirah kini sedang menuntut di Sekolah Kebangsaan Pengadang Baru, Kuala Terengganu, kurang satu kilometer dari kediaman mereka.



Menurut Puan Nik Aini, bagi membiasakan diri bergaul dengan masyarakat secara bijaksana, beliau sentiasa meminta pendapat suaminya, selain mendapatkan pandangan isteri pemimpin lebih berpengalaman.

“Melalui pendekatan itu, saya dapat bergaul dengan masyarakat tanpa rasa kekok dan mampu menyesuaikan diri apabila hadir di majlis atau program membabitkan pemimpin negeri dan kerabat diraja,” katanya yang menjadi suri rumah sepenuh masa..



Katanya, selepas hampir enam tahun suami diberi kepercayaan menjadi wakil rakyat, pelbagai progam dirancang dan dilaksanakan demi kebajikan penduduk.

“Kebanyakan program itu, YB akan hadir untuk beramah mesra dan merasmikan aktiviti yang diadakan. Jika suami mempuyai tugas luar atau terpaksa menghadiri mesyuarat, tugas itu akan diwakilkan kepada saya atau pembantu DUN.

“ Selama dua penggal suami menjadi Adun, tugas dipertanggungjawab tidak pernah kurang, terutama selepas dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri,” katanya.



Menurutnya, komitmen itu menjadi kebiasaan kerana beliau sudah faham apa yang dimaksudkan `YB untuk rakyat’.

“Apabila terlalu sibuk, kadangkala anak merungut dan bertanyakan abah pergi mana dan kenapa balik lambat.

“Ketika mempunyai masa terluang, YB akan guna sebaik mungkin untuk bersama keluarga, termasuk menyemak kerja sekolah anak dan keluar beriadah,” ujarnya yang gemarkan perwatakan YB Khazan suka bergurau dan bercerita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan