Isnin, 30 Mac 2009

FCZ bakal diperbesar

Oleh: AIDA ABD RAHMAN

Keluasan kawasan Zon Perdagangan Bebas (FCZ) yang dibangunkan di atas tanah seluas 20 hektar berhampiran lapang sasar di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LSTM), Kuala Terengganu, berpotensi untuk ditambah pada masa depan.

Malah, kerajaan negeri membuat perancangan teliti bagi memastikan FCZ di LTSM mampu mencapai piawaian sebenar dan menjadi hab kargo di Pantai Timur.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata Malaysia Airline Cargo Sdn Bhd (MASKargo) selesai memberi taklimat kepada kerajaan negeri mengenai projek pembinaan FCZ bagi kemasukan kargo luar negara itu, kira-kira dua bulan lalu.

Manakala taklimat pusingan kedua melibatkan keperluan serta `lay out’ diperlukan kerajaan negeri bagi memastikan keluasan asal itu dapat ditambah lagi pada masa depan.

“Oleh itu, kita buat satu perancangan yang teliti bagi menjadikan LTSM sebagai hubkargo bagi kawasan Pantai Timur.

“Kita sedar bahawa hari ini kargo yang diperlukan dalam industri seperti petroleum dan gas di Terengganu yang dibawa ke Pelabuhan Kuantan, Kemaman dan Kerteh datang dari Singapura, Amerika Syarikat dan negara Eropah (dibawa) terus ke Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan dan Makan Malam kepada Petugas Operasi Haji 1429H/2008M, Terengganu-Jeddah, di Dewan Konvesyen, Taman Tamadun Islam, baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong; Pengarah Kanan Lembaga Tabung Haji, Haji Mohd Salleh Abdul Mubin dan Pengurus Kanan Penerbangan Haji Terengganu-Jeddah, Dato’ Kapten Mohd Nawawi Awang.

Dato’ Ahmad berkata, kewujudan FCZ di Kuala Terengganu yang kini sedang dalam kerja menyiapkan tapak itu nanti mampu menjimatkan kos dan masa, berbanding jika barangan kargo itu dibawa dari Singapura.

Beliau berkata, peruntukan keseluruhan projek yang dibiayai kerajaan negeri itu berdasarkan keperluan dan kehendak semasa serta berasaskan pengalaman MASKargo.

“Kerajaan negeri akan menanggung kos pembinaan (FCZ) dan kerajaan sendiri akan dapat pulangan daripada penyewaan dan penggunaan kemudahan yang disediakan,” katanya.

Pada masa sama FCZ turut menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai tenaga mahir dan separa mahir, contohnya yang berasaskan penyelenggaraan kargo serta pekerja ICT berteknologi tinggi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan