Ahad, 15 Mac 2009

Gajah Liar Dilindungi

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad memberi makan kepada gajah betina yang diberi nama `Suria' ketika melawat Santuari Gajah di Sungai Ketiar, Hulu Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


10 Mac 2009


SEMUA gajah liar yang berkeliaran di negeri ini akan ditangkap dan ditempatkan dalam satu kawasan perlindungan seluas 15,000 hektar di Sungai Ketiar, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Kawasan perlindungan ini akan dibahagi kepada tiga kompatmen dan setiap kompatmen (5,000 hektar) akan dikawal menggunakan pagar elektrik dan dibuka secara berasingan.

“Perbelanjaan dijangka mencecah lebih RM8 juta bagi membina pagar elektrik di sekeliling kawasan perlindungan gajah,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai Santuari Gajah di Sungai Ketiar, Tasik Kenyir.


Menteri Besar menaiki gajah jinak yang dipulihara di Tasik Kenyir, Terengganu.

Katanya, kerja-kerja membina pagar ini akan dijalankan secepat mungkin dan rundingan sedang dibuat dengan kontraktor bagi mendapatkan kos sebenar serta penggunaan tenaga solar bagi mengelak berlaku kejutan elektrik terhadap gajah.

Katanya, setiap kompatmen akan ditanam pelbagai jenis pokok untuk makanan gajah di mana hanya satu kompatmen akan dibuka pada satu-satu masa.

Menurutnya, kompatmen a,b dan c akan dibuka mengikut giliran dalam tempoh empat bulan bagi setiap kompatmen dan gajah akan dipindahkan ke kompatmen berikutnya untuk memulihkan pokok yang ada di kawasan itu.

“Kita sedang mengenal pasti laluan gajah-gajah liar ini supaya dapat merancang untuk membuka kompatmen mengikut pusingan tanpa menganggu kitaran makanan untuk haiwan itu,” katanya.

Tambah Menteri Besar, laluan selamat untuk pelancong juga sedang dikenal pasti agar lawatan ke Santuari Gajah ini dapat memberi kepuasan kepada pengunjung.


Santuari Gajah Tasik Kenyir di Sungai Ketiar, Hulu Terengganu menjadi tarikan baru kepada pengujung.

Sepanjang tahun lalu 35,145 pengunjung termasuk 259 pelancong luar telah berkunjung ke Santuari Gajah di Sungai Ketiar di mana ia merupakan santuari pertama di negara ini.

Pembinaan tiga unit jejantas hidupan liar ‘animal viaduct’ yang dibuat khas untuk spesies hidupan liar bergerak merentasi kawasan hutan merupakan jalan raya pertama di Asia Tenggara yang memberi perhatian kepada keperluan pergerakan hidupan liar.

Terletak 135 kilometer (km) dari pusat bandar Kuala Terengganu dan 95 km dari bandar Kuala Berang, perjalanan ke Santuari Gajah boleh melalui jalan baru Kuala Berang – Tasik Kenyir – Aring – Guang Musang.

Dua ekor gajah iaitu Suria (betina) dan Chili (jantan) berusia antara tujuh dan lapan tahun menjadi tarikan di mana pengunjung boleh memberi makan, menunggang dan bergambar dengan Suria dan Chili.


Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan