Selasa, 10 Mac 2009

150 pelajar perubatan ke luar negara

Oleh: KAMARUDIN MAT AKIB

Kerajaan Terengganu menetapkan seramai 150 pelajar anak negeri akan dihantar mengikuti bidang perubatan di luar negara, pada setiap tahun mulai tahun ini, bagi menambah graduan di bidang berkenaan.

Daripada jumlah itu, 50 pelajar akan dihantar ke Mesir bagi tujuan berkenaan, Indonesia (50 orang) dan Russia (50 orang).

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata beliau telah melawat Mesir tahun lepas dan mengarahkan supaya sebuah asrama khusus kepada pelajar bidang perubatan diwujudkan di Universiti Mansurah.

“Insya-Allah pada tahun ini saya akan melawat Indonesia dan Russia untuk meninjau kemudahan yang ada, termasuk universiti yang diiktiraf oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah dalam rancangan Hello Malaysia yang disiarkan melalui Bernama-TV, baru-baru ini.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri juga akan membiayai pengajian 20 pelajar negeri ini menjadi juruterbang.

Dalam usaha meningkatkan bidang pendidikan di negeri ini juga, katanya, pelajar anak negeri yang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsasah yang tidak mendapat pinjaman daripada mana-mana pihak akan ditaja Kerajaan Terengganu.

“Insya-Allah menjadi hasrat kita untuk pastikan anak Terengganu terus cemerlang dalam pendidikan. Ini sebagaimana yang saya sebut pada 2007 kita pernah perkenalkan satu skim galakan kepada anak Terengganu yang belajar di universiti tempatan yang mendapat Ijazah Kelas Pertama iaitu kita berikan, pertama daripada pinjaman tukar kepada biasiswa.

“Kedua, hadiah kecemerlangan RM3,000 pada tahun pertama kepada 22 orang anak Terengganu yang mendapat ijazah kelas pertama daripada universiti tempatan.

“Tetapi kali kedua pada 2008, Disember tahun lalu, seramai 63 orang anak Terengganu mendapat ijazah kelas pertama. Mulai 2009, saya mengarahkan supaya pelajar tajaan Yayasan Terengganu yang mendapat hadiah cemerlang ini dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan