Rabu, 11 Mac 2009

MDHT tagih hutang RM22.61 juta

Oleh: Farezul Fadzal

Tenaga Nasional Berhad (TNB) diminta menjelaskan segera hutang cukai taksiran berjumlah kira-kira RM 22.61 juta, bagi membolehkan lebih banyak projek rakyat dilaksanakan di daerah Hulu Terengganu.

Sehingga ini, TNB masih belum menjelaskan tunggakan baki cukai RM17,223,600 kepada Majlis Daerah Hulu Terengganu (MHDT), bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2007.
Berikutan kelewatan menjelaskan bayaran cukai taksiran itu, TNB dikenakan denda kelewatan bayaran berjumlah RM396,876.

Selain itu juga, TNB masih belum melunaskan bayaran bagi cukai taksiran 2008 berjumlah RM4.992 juta.



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang, Encik Mohd Zawawi Ismail, berkata TNB perlu menjelaskan hutang tersebut bagi membolehkan MDHT melaksanakan perancangan memajukan daerah itu, khususnya di bandar Kuala Berang.

“Kita memandang serius isu ini kerana ia bukan jumlah yang sedikit. Dengan hasil itu, kita mampu melaksanakan program pembangunan yang dirancang di Kuala Berang untuk manfaat penduduk,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan TNB yang juga merupakan pembayar terbesar cukai taksiran kepada MDHT, lewat menjelaskan cukai taksiran mengikut tempoh yang ditetapkan, banyak perancangan di daerah itu tergendala.

Sejak Ogos 1999 hingga April 2007, TNB telah membayar cukai taksiran berjumlah RM 10. 248 juta.

“Pada Ogos 1999, TNB membayar RM2.496 juta, tahun 2000 (RM5 juta), 2001 (RM 2.504 juta) dan tahun 2007 RM248,000.00,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zawawi berkata bandar Kuala Berang akan berubah wajah sepenuhnya menjadi bandar satelit menjelang tahun 2018 apabila pelan susun atur dan modenisasi tersebut dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Menurutnya, beberapa projek pembangunan kini giat dilaksanakan termasuk projek pembinaan terminal pengangkutan bersepadu, pasar baru dan projek mewujudkan lebih banyak lot perkedaian.

“Setakat ini, kira-kira 25 peratus dari ketiga-tiga projek tersebut telah siap dan kita harap apabila semua projek dalam pelan induk yang dirancang ini siap, Kuala Berang benar-benar menjadi bandar satelit malah lebih baik dari itu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan