Khamis, 5 Mac 2009

Gerhana matahari Minggu Falak 2009

Minggu Falak (Astronomi) Terengganu 2009 di Taman Tamadun Islam selama tiga hari mulai 25 Januari lalu, menumpukan kepada fenomena gerhana matahari berikutan kejadian itu mampu dilihat secara jelas di Terengganu.

Fenomena gerhana matahari separa dapat dilihat dengan jelas hampir semua kawasan di Asia Tenggara, termasuk Terengganu dan ia pernah disaksikan penduduk tempatan pada 1998.



Tahun ini dua kali fenomena gerhana matahari berlaku, termasuk pada 26 Januari lalu. Ia berlaku pada magnitud 60 peratus manakala pada 22 Julai depan pada magnitud 20 peratus.



Turut hadir menyaksikan fenomena itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Khazan Che Mat; Pengerusi Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Dato’ Abdul Latiff Awang dan Pengarah Urusan PSKT, Dr. Mohd Zaki Mohd Said.

Sempena program itu, Universiti Darul Iman (UDM) turut menyediakan kelengkapan alat cerap bagi memberi peluang orang ramai menyaksikan sendiri fenomena gerhana matahari di perkarangan Tasik al-Jazari, Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, 26 Januari lalu.



Tepat jam 4.37 petang fenomena tersebut mula kelihatan sehingga jam 7 malam dan ia dijangka berlaku lagi pada tahun 2031.



Khazan berkata, program yang diadakan itu mampu mengembalikan minat orang ramai, terutama pelajar mengetahui perkara-perkara yang berlaku di bidang sains dan teknologi.



“Ini satu langkah bijak diambil pihak terlibat pada hari ini dan diharap ia menjadi pencetus kepada kebangkitan dunia Sains Islam yang kini dikuasai dunia Barat,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan