Khamis, 5 Mac 2009

Kerajaan Terus Bela Rakyat

MENTERI BESAR TERENGGANU, DATO’ AHMAD SAID diwawancara dalam rancangan Hello Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi ASTRO, baru-baru ini. Ikuti transkrip temubual berkenaan yang ditulis AIDA ABD RAHMAN.

S: Tumpuan Hello Malaysia tentulah akan bercakap mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu yang baru sahaja selesai dan satu keputusan yang tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN). Analisis ringkas daripada Dato’ mengenai pilihan raya berkenaan.

J: Sebagai seorang pejuang demokrasi dan parti yang mengamalkan demokrasi, kita menerima keputusan rakyat Kuala Terengganu yang menyebabkan BN kalah dalam PRK baru-baru ini dan kita telah pun post-mortem untuk mengenal pasti punca kekalahan. InsyaAllah kita yakin BN akan bangkit kembali dan pada pilihan raya umum nanti dan InsyaAllah kita boleh merampas kembali Parlimen Kuala Terengganu.

S: Dato’ tidak menjelaskan hasil daripada post-mortem yang dilakukan itu adakah salah satu sebab ketewasan PRK Kuala Terengganu itu disebabkan berlaku perpecahan dalam UMNO atau itu hanya andaian pemerhati sahaja.

J: Saya tidak melihat kekalahan ini akibat banyak puncanya. Salah satu puncanya apabila peratusan pengundi jumlahnya kecil. Kerana pada awal-awal lagi kita menjangkakan peratus keluar mengundi pada hari itu 85 peratus, kira-kira 35,000 undi. Ini bermakna kita akan menang dengan selesa, di mana kita menjangkakan kita menang dengan 3,500 undi. Jika ini berlaku. Tetapi malangnya bila PRK itu berlaku hanya 80 peratus sahaja keluar mengundi. Biasanya dalam PRK orang-orang UMNO atau mereka atas pagar memihak kepada UMNO yang agak `culas’ (liat) kata orang Terengganu untuk keluar mengundi. Ini yang berlaku.

S: Itu sesuatu perkara yang Dato’ jelaskan apabila sudah tewas. Tetapi ada pula yang bercakap mengenai calon, apakah UMNO Terengganu terburu-terburu memilih calon untuk Parlimen Kuala Terengganu, sedangkan PAS terpaksa menginjak tarikh agar mereka dapat meletakkan seseorang yang betul-betul dapat menyaingi calon BN pada masa itu?

J: Saya tidak merasakan UMNO Terengganu meletakkan calon dengan terburu-buru kerana kita sudah membuat pilihan yang terbaik (beliau) sebagai Ketua Bahagian dan sebagainya, dengan kewibawaan calon sendiri. Malahan kalau dikaitkan dengan PAS berhati-hati juga tidak, kerana PAS juga berdepan dengan masalah untuk menentukan calon mereka, pada saat akhir baru dapat membuat keputusan selepas berlakunya kompromi.

S: UMNO juga dikatakan tidak mesra rakyat berbanding calon PAS. Apa komen Dato’?

J: Saya tidak pasti apakah UMNO itu sendiri tidak mesra rakyat kerana selama ini segala program perancangan dan pembangunan adalah berbentuk kemasyaratan, berfokus kepada rakyat. Sedangkan kita lihat apa yang dilakukan oleh PAS, mereka hanya muncul ketika pilihan raya, mereka hanya melancarkan ceramah-ceramah dan tidak turun ke kampung-kampung sebagaimana kita wakil rakyat kerajaan setiap minggu berada di kawasan masing-masing bagi mengadakan program untuk rakyat, mengadakan majlis mesra rakyat, memberi bantuan, dana kepada rakyat , memberi apa jua bantuan yang diperlukan oleh rakyat.

Kita lihat bahawa kalau kita mengatakan kita rakyat Malaysia yang tidak pernah terhutang budi, kepada UMNO atau BN itu saya rasa satu pembohongan. Kerana saya melihat bahawa kita sedia apa sahaja kemudahan kepada rakyat, kita sakit ke hospital sebagai pesakit luar hanya bayar RM1. Adakah berpadanan..berpatutan dengan bayar RM1 membayar ubat dan mendapat ubat dan ubat yang sama di klinik swasta mungkin membayar RM20-RM30? Cuba kita bayangkan.

S: Tapi ada juga yang berpendapat ketewasan BN atau UMNO di PRK Kuala Terengganu disebabkan tidak cukup `support’ sebenarnya walaupun pada masa kempen kita lihat begitu ramai sekali yang berada di Kuala Terengganu ketika itu. Tetapi orang yang bekerja keras ialah Dato’ dan juga dikatakan YAB Dato’ Seri Mohd Najib (Timbalan Perdana Menteri). Tokoh yang bekerja keras, tetapi yang lain hanya menunjukkan muka dan tidak memainkan peranan yang diharapkan untuk membantu jentera pilihan raya ketika itu.

J: Saya tidak boleh mengatakan tiada `support’ dalam soal ini, sebab sebagaimana yang kita katakan tadi hasil post-mortem kita mengenal pasti banyak perkara yang boleh kita usaha untuk meningkatkan jentera kita dalam pilihan raya akan datang. Tetapi apa yang berlaku sebagaimana yang saya sebutkan tadi jumlah pengundi itu sendiri kerana kita lihat, contohnya sebahagian daripada pengundi yang berada di luar Terengganu tidak pulang mengundi.

Kedua, kita lihat masyarakat Tionghua sendiri mereka agak kurang peratusan keluar mengundi. Ada dua tiga peti undi yang majoritinya masyarakat Tionghua yang keluar mengundi kira-kira 60 hingga 80 peratus sahaja. Mungkin kerana mereka sebahagian besar berada di luar Kuala Terengganu dan kebetulan dia memikirkan pada 17 haribulan pilihan raya dan selepas itu mereka terpaksa pulang untuk menyambut Tahun Baru Cina dan mereka mengambil sikap `tak apalah, tak pulang’.

Keduanya, mereka merasakan tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri. Yang ketiga pula, mereka bersikap bahawa oleh kerana calon mereka tidak terlibat dalam pertandingan kali ini, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar dan kita melihat apabila berlakunya pilihan raya umum, jadi satu-satunya calon daripada masyarakat Tionghua mewakili MCA bertanding di Kuala Terengganu menyebabkan masyarakat Tionghua terpaksa `all out’ untuk keluar mengundi sekurang-kurangnya 80 peratus bagi memastikan wakil mereka menang, bila mereka memberi undi kepada DUN mereka, secara automatik mereka juga akan beri undi kepada calon Parlimen BN. Saya berkeyakinan pada PRU akan datang kita boleh mengembalikan Parlimen Kuala Terengganu kepada pangkuan BN.

S: Kita bercakap secara terus dan terang mengenai Dato’ hampir-hampir menjadi wakil rakyat ketika berusia 29 tahun pada 1986 tetapi tidak jadi. Dato’ bermula dalam politik ini seolah-olah langkah kiri. Ketika jawatan Ketua Pemuda juga sedemikian dan sewaktu hendak ditabal sebagai Menteri Besar juga kontroversi. Adakah ini mengganggu-gugat sedikit sebanyak apa yang Dato’ fikirkan ketika itu?

J: Sebenarnya saya memang sejak kecil berminat dengan politik. Pilihan raya 1969 ketika itu saya dalam darjah enam saya pergi lihat bagaimana proses pengundian berlaku. Memang saya berminat sebenarnya dan saya tak jangkakan bahawa langkah kiri atau kanan. Takdir yang menentukannnya kerana kita tidak diberikan kasaf apa yang tertulis di dalam mahfuz sana. Tetapi kita berusaha dan berkeyakinan. Bagi saya kalau niat kita ikhlas, kalau manusia tidak mahu tilik pandang apa yang kita lakukan, Insya-Allah, Tuhan akan tilik pandang apa yang kita lakukan. Jadi rezeki masing-masing.

S: Keputusan pilihan raya sudah diketahui dan macam Dato’ kata sendiri BN akan melakukan sesuatu untuk merampas kembali kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Tetapi yang menarik, adakah berlaku anjakan dalam senario politik akan memberi kesan kepada proses dan program pembangunan yang Dato’ rancangkan?

J: Saya tidak menjangkakan bahawa berlakunya apa-apa `feedback’ dalam rancangan pembangunan yang dibuat oleh Kerajaan Terengganu sebagai kerajaan yang bertanggungjawab iaitu tradisi membela rakyat, kita akan teruskan rancangan pembangunan yang telah kita lakukan. Sebagaimana saya katakan tadi kerajaan tidak akan menghukum rakyat yang tidak menyokong parti pemerintah. Walaupun rakyat yang menghukum parti pemerintah kali ini (pilihan raya Kecil Kuala Terengganu), tetapi saya percaya bahawa InsyaAllah kebaikan dan tanggungjawab yang dilakukan kerajaan menyebabkan rakyat akan terbuka hati mereka untuk kembali menyokong parti pemerintah BN pada masa akan datang. Sebab itulah dari segi perancangan pembangunan akan kita teruskan sebagaimana kita janjikan selama ini.

S: Royalti minyak akan dikembalikan Mac ini. Pastinya penubuhan Tabung Pendidikan Rakyat Terengganu menggunakan dana royalti minyak ini. Apakah Dato’ melihat bahawa ini sesuatu yang boleh dinikmati dengan lebih besar lagi dengan hasrat Kerajaan Terengganu `merakyatkan pendidikan’ ini?

J: Sudah tentu bahawa menjadi agenda negara dan negeri untuk pastikan rakyat kita mendapat pendidikan sebagai teras pembangunan pada masa depan iaitu modal insan kita. Sebab itulah saya melihat salah satu kejayaan kita sebagai negara dan negeri Terengganu khususnya yang terbesar dalam menghadapi dan mengurangkan kadar kemiskinan adalah menerusi pendidikan. Tidak mungkin saya katakan kalau seorang bapa yang pernah melanjutkan pelajaran di Universiti dan mendapat gaji lumayan, anaknya nanti penerima bantuan PPRT (Program Pembangunan Rakyat Termiskin). Tak mungkin seorang terpelajar, seorang doktor, anaknya nanti seorang penganggur tidak mempunyai pekerjaan, atau penerima PPRT. Malah, mungkin anaknya seorang doktor, anak juga menjadi engineer dan sebagainya. Ini merupakan satu kejayaan yang paling besar dan Terengganu sendiri kalau kita melihat sejarahnya, semasa kita mencapai kemerdekaan dulu, kadar kemiskinan Terengganu 89.9 peratus dan sekarang ini yang terakhir telah turun kepada 6.5 peratus sebab itu kita melihat bahawa menerusi dana yang akan kita rancangkan ini, kerana kita tahu minyak mungkin akan habis satu ketika nanti, ketika itu kita tiada sumber dan sebagainya. Sebab itu kerajaan negeri perlu merancang dengan kembalinya royalti ini, kita akan buat satu bentuk pelaburan khusus kepada dana pendidikan kita untuk pastikan anak Terenganu terus mendapat pembiayaan pinjaman dan sebagainya untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi pada masa depan. Sebab itu pada tahun ini sebagai contohnya kita membelanjakan RM150 juta untuk pendidikan negeri Terengganu.

S: Adakah daripada royalti minyak ini juga kerajaan negeri Terengganu merancang untuk membina projek- projek yang dianggap mega di Terengganu?

J: Kita tidak tahu bahawa apakah projek mega yang dimaksudkan ini. Kerana setakat ini tidak banyak projek mega yang dilaksanakan di Terengganu. Cuma apa yang penting projek kita merakyatkan pembangunan di Terengganu dengan menyediakan pembangunan prasarana yang memberi impak secara langsung kepada rakyat di Terengganu. Sebab itulah pada mula saya memperkenalkan program pemberian atap kepada penduduk miskin, kadang-kadang ada menganggap program itu skeptikal, kadang-kadang orang memperkecilkan apa yang kita lakukan. Tetapi kita sedar bahawa apa yang kita lakukan kerana di Terengganu masih lagi kebanyakan rumahnya kalau di kampung-kampung yang atapnya bocor dan sebagainya. Sebab itu saya berhasrat dalam tempoh lima tahun saya katakan saya tak mahu lihat lagi ada rumah di Terengganu yang atapnya masih bocor. Sebab itu program mulai tahun ini, setiap DUN kita bagi setengah juta untuk penggantian atap daripada zink atau bata kepada asbestos. Ini yang kita maksudkan pembaikian rumah dan ini termasuk juga program pembaikian 40 unit satu DUN dengan 1,320 unit setahun. Kali ini dengan jumlah yang sama walaupun harganya meningkat sekali ganda. Apabila dulu RM18,000 satu unit, sekarang RM33,000 seunit rumah. Sedangkan kita masih menggunakan kuota yang sama. Ini perancangan yang kita buat bagi memastikan keselesaan kepada rakyat dan juga sebagaimana yang saya katakan tadi masih ada lebih kurang 5,000 keluarga termiskin di Terengganu ini. Sebab itulah mulai tahun ini dalam bajet baru-baru ini kita menyediakan RM100 juta untuk sediakan ladang rakyat iaitu ladang kelapa sawit yang mana hasil itu nanti boleh kita gunakan untuk agih-agihkan kepada golongan termiskin di Terengganu.

S: Kita lihat andaian rakyat Terengganu atau orang luar yang menganggap Terengganu negeri yang kaya dengan hasil royalti minyak tetapi rakyatnya miskin. Apakah andaian ini tepat ataupun suatu andaian sahaja?

J: Bagaimana saya katakan tadi, ini dibangkitkan oleh pembangkang sebagai satu isu yang kadangkala mengelirukan..negeri kaya, rakyat miskin. Sebagaimana yang kita lihat tadi, sebagaimana statistik, pada tahun mencapai kemerdekaan 89.9 peratus dan sekarang tinggal 6.5 peratus. Dulu rumah orang Terengganu, masih lagi tiangnya bulat, atapnya nipah, dindingnya kulit kayu dan sebagainya. Sekarang payah melihat tiangnya kulit kayu, tiang bulat, atap nipah dan begitu juga kemiskinan ini bersifat relatif. Kalau dulu kita lihat, ayah kita jarang yang ada basikal, kalau musim perayaan rumah mak bapak kita tiada tempat ruang nak letak kereta kerana anak cucu pulang semua ada kereta, adakah itu dikatakan masih miskin. Kalau hendak dibandingkan kita pakai motosikal berbanding Mercedes sudah tentu kita rasa miskin tetapi miskin ini bersifat relatif, dari segi pendapatan. Tetapi tidak tahulah adakah ia suatu gimik kadangkala untuk menimbulkan perasaan kemarahan rakyat terhadap kerajaan dan sebaliknya.

S: (Daripada pemanggil - Puan Rohani dari Kajang) Pertama diucapkan tahniah kepada Dato’ kerana akhirnya kita dapat balik duit royalti minyak selepas beberapa tahun, 10 tahun lamanya. Hanya beberapa cadangan, yang pertama Terengganu ada satu perpustakaan yang hebat dan besar, tetapi rakyatnya tak dihebahkan dengan sebaiknya. Saya cadangkan sebaik memasuki Terengganu tiada pun pandu arah yang menunjukkan adanya perpustakaan ini. Jadi saya rasa untuk meningkatkan lagi pendidikan dan pelajaran di kalangan pelajar, rakyat Terengganu ialah menunjukkan kita ada pandu arah, gedung ilmu dan seterusnya kepada universiti, salah satu prasarana untuk dihebahkan ilmu dan peluang pelajaran di Terengganu.
Kedua, apakah projek besar mungkin tak mega yang hendak dilakukan dengan duit royalti minyak itu, satunya apakah yang bersabit `Monsoon Cup’ itu, apakah aktiviti yang benar-benar boleh dimanfaatkan itu oleh orang Terengganu sama ada pembuat bot, sukan air apakah aktiviti, perancangan lebih luas sebab kita sudah belanja banyak untuk `Monsoon cup’. Satu lagi, mengenai jalan raya dari Kuala Terengganu ke Manir, sudah bertahun-tahun belum siap. Jambatannya pun belum nampak rupa parasnya. Masih lagi ada `traffic jammed’ terutama pada masa perayaan. Jadi saya harap dengan duit royalti ini antara projek mega yang boleh dilaksanakan ialah salah satunya jambatan yang lebih banyak di sungai-sungai Terengganu.

J: Pertama kita akui perpustakaan kita merupakan sebuah perpustakaan yang besar dan serba lengkap. Beberapa tahun dulu tiada pun tertulis perpustakaan negeri dan sekarang sudah ada dan sudah ada skrin di tepi jalan. Cuma saya akui tidak ada penunjuk arah barangkali rakyat Terengganu sudah tahu adanya perpustakaan di situ, cuma orang luar tidak tahu dan Insya-Allah saya akan adakan tunjuk arah di situ pada masa akan datang.

Yang kedua mengenai `Monsoon Cup’ kita tahu ia projek Kerajaan Persekutuan yang membiayai acara tahunan ini. Tetapi sudah tentu jangka panjangnya ia merupakan satu bentuk pelaburan (jangka panjang), pengiklanan memperkenalkan Terengganu di mata dunia. Bila setiap tahun diadakan sudah tentu hasilnya dilihat pada jangka masa panjang juga. Bila orang luar sudah mengetahui bukan sahaja destinasi Monsoon Cup ini, tetapi dengan hebahan, keluarnya di tv-tv (televisyen) ESPN, jadi masyarakat antarabangsa mengetahui di mana Terengganu. Sebab itulah kita mula mengorak langkah menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama. Saya sudah menyatakan kita tidak boleh mengharapkan hasil minyak semata-mata, mungkin ia akan habis dan jangka masa panjangnya Terengganu akan menjadikan pelancongan sebagai sektor pelancongan utama pada masa depan. Sebab itu dengan siapnya Lapangan Terbang Sultan Mahmud boleh dijadikan lapangan terbang antarabangsa yang setakat ini lapangan terbang yang ketiga terpanjang landasannya di Malaysia. Baru-baru ini kita dapat mengadakan penerbangan secara langsung untuk menunaikan fardu haji daripada Terengganu Jeddah, Madinah. Saya telah membuat tawaran kepada syarikat penerbangan asing dan juga dalam negeri yang akan membuat penerbangan langsung dari luar negara terus ke Kuala Teregganu dengan memberi beberapa insentif. Pertamanya, penerbangan langsung dari luar negara ke Terengganu, `landing fees’ akan dibayar oleh kerajaan negeri, `parking fees’ juga dibayar kerajaan negeri, penggunaan `aerobridge’ akan dibayar oleh kerajaan negeri dan terakhir, bayaran cukai airport iaitu RM50 bagi penerbangan antarabangsa juga akan dibayar oleh kerajaan negeri kepada MAB (Malaysia Airports Holdings Berhad). Ini merupakan satu usaha kerajaan negeri untuk memastikan pelancong datang lebih ramai menerusi penerbangan ke Terengganu.

Satu lagi kita juga merancang menyediakan kemudahan FCZ (Free Commercial Zone) di `airport’ Kuala Terengganu, kerana kita tahu bahawa industri petroleum kita di Kemaman terutama `supply base’ dan pelabuhan Kuantan kebanyakan bekalan material tertentu yang dibawa daripada luar negara datang melalui Singapura, jadi kita akan bawa ke Terengganu menyebabkan ianya lebih cepat dan kos lebih murah pada masa depan.

Ketiga mengenai jalan raya dilakukan oleh Kerajaan Pusat melibatkan `federal road’. Ini melibatkan kontraktor yang dipilih ada masalah dan sebagainya menyebabkan projek lambat siap. Kita sedar masalah itu dan kita mengarahkan kontraktor mempercepatkan projek ini. Kita juga ada perancangan untuk melebarkan lagi kalau disebutkan tadi jalan Durian Burung menghala ke Batu Enam (Kuala Terengganu), kita ada rancangan menjadikan Jambatan Manir dan Jambatan Buluh Gading kepada empat lorong. Kita juga ada satu lagi jambatan baru, iaitu daripada Muzium Terengganu ke Pulau Sekati dan terus ke Jeram, Manir dan sebagainya, kerana jambatan itu sudah diluluskan pada tahun lepas tetap kita tak bersetuju supaya `diupgradekan’ daripada dua lorong kepada empat lorong. Ia perlu kajian semula dan memerlukan membuat `design’ semula jambatan itu kepada empat lorong. InsyaAllah perkara itu akan dapat diatasi.

S: Bila bercakap soal pelancongan, dari pantai-pantai yang ada di Terengganu ini, saya dapat baca di beberapa blog yang mengaitkan Pantai Batu Rakit antara yang dinodai dengan sampah-sampah yang mana botol dan plastik bertulisan Vietnam. Apakah ini dia akibat daripada perbuatan nelayan asing atau bagaimana sehingga sedikit menjejaskan keindahan pantai itu?

J: Sebenarnya kadangkala ramai yang tidak memahami apa yang berlaku di pantai Terengganu. Pertama, pantai kita lebih kurang 280 kilometer daripada Kemaman ke Besut. Keduanya, biasanya sampah sarap ini terdampar di pantai Terengganu bermula musim tengkujuh bermula November hingga Januari. Selepas itu baru kita mulakan kerja pembersihan pantai ini. Sebab itu saya tidak terkejut, bukan sahaja sampah daripada Vietnam datang ke sini, termasuk negeri lain, satu ketika tidak silap saya, satu botol yang diletakkan nama daripada luar negara ditemui di Pantai Kerteh. Akhirnya pihak Petronas memanggil budak yang menulis nama dalam botol itu supaya datang ke Terengganu selepas beberapa tahun. Ini kerana kita mempunyai pantai yang terbuka, apa juga yang berlaku di sebelah sana datang, bawak ke sini terutama pada musim tengkujuh. Bila bulan 12 sahaja bukan sahaja penuh dengan sampah sarap, termasuk balak dan kayu-kayu.

S: (Pemanggil- Encik Azhar dari Kuala Terengganu). Pertama, berkenaan pilihan raya baru-baru ini menyaksikan rakyat menolak politik yang memberi bantuan wang ketika pilihan raya, antara punca kekalahan. Kedua, mengenai duit royalti digunakan lebih banyak projek pelancongan, contohnya kadang-kadang saudara mara kita datang dari jauh luar Terengganu ini, tiadapun produk pelancongan di Terengganu ini. Jadi saya cadangkan zoo, sebab di Pantai Timur sendiri tiada zoo lagi. Ketiga, saya cadangkan supaya memperbanyakkan produk-produk, industri kecil serta besar untuk menarik `investor’ daripada luar negara, kita bagi insetif untuk memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan.

J: Encik Azhar tadi menyatakan kita membahagikan duit semasa pilihan raya sahaja itu tidak benar berlaku di Terengganu. Kita bagi Terengganu, rakyat Terengganu bila nak raya kita bagi (sumbangan) duit, bantuan atap itu pun kita bagi bukan hanya semasa pilihan raya. Begitu juga dari segi pembaikian rumah, begitu juga pelajaran. Kita belanjakan RM30 juta setahun untuk pelajar-pelajar UPSR, kita adakan kelas-kelas tuisyen Mas, kelas motivasi, program Skor A, memperkenalkan hadiah kecemerlangan bagi pelajar UPSR pada 1986 ketika Tan Sri Wan Mokhtar menjadi Menteri Besar. Ketika itu pada 1981, 46 pelajar mendapat straight A, 5A UPSR. Berbanding tahun lepas selepas program ini (dijalankan) 27 tahun catatan kita, masih lapan tahun berturut-turut menjadi juara dalam UPSR dan tahun lepas anak Terengganu yang mendapat 5A seramai 3,484 orang. Ini kerana kita memberi pengiktirafan setiap seorang pelajar RM120 seorang (UPSR), manakala PMR RM160 seorang. Jadi kita juga bagi bantuan pakaian sekolah, duit dan macam-macam, tidak semestinya semasa pilihan raya. Ini suatu kebetulan dan suatu tanggapan yang tidak benar. Kedua, mengenai bilakah Terengganu mempunyai zoo, saya senyum tadi kerana sebenarnya Insya-Allah akhir bulan Mac kita akan rasmikan zoo di Kemaman yang dinamakan mini zoo dan taman rekreasi di Kemaman seluas 38 ekar yang hampir siap sepenuhnya. Kita akan buka lagi tambahan 100 ekar selepas ini.

Saya sudah rancang pada 1998 tetapi sempat buat sekejap selepas itu kalah pada 1999, dan saya sambung balik pada 2004 dan sekarang kita buat. Insya-Allah orang Terengganu boleh melawat zoo ini, kerana kita apabila siap kita ada kandang harimau, ada naik gajah, ada rusa, kijang, pelanduk dan harimau. Malah ada hampir 40 ekor burung Merak termasuk Merak Hijau satu-satunya spesies yang tercantik di dunia yang sudah pupus di Malaysia yang kita bawa dari Jerman.

Manakala dalam soal perindustrian, kita menyediakan kawasan perindustrian, sebagai contohnya industri berat di Kemaman dan sudah meluluskan tiga pelabur baru pelaburan dalam bidang pembuatan besi waja di Kemaman dan satu daripadanya sudah membuat kerja-kerja dan dua lagi masih membuat pengukuran tanah dan sebagainya.

Sekiranya ketiga-tiga kilang ini beroperasi, ia memerlukan 10,000 pekerja. Begitu juga kawasan lain termasuk Kerteh, `industrial park’, di mana industri plastik ini di dunia banyak menggunakan plastik dalam kehidupan yang memberi ruang kepada pekerjaan dan menggunakan duit royalti ini untuk menyediakan infrastruktur untuk kawasan-kawasan industri berkenaan.

Satu lagi, kita buat kilang pemasangan e-Book untuk rakyat Terengganu berharga RM8.5 juta. Minggu lepas saya melawat dan `kerja piling’ sedang dijalankan merupakan satu lagi usaha Kerajaan Terengganu untuk memperkasakan pendidikan dan Insya-Allah menjelang Mei, anak Terengganu dalam darjah lima akan mendapat laptop setiap seorang.

S: (Pemanggil- Haji Hamzah dari Sabah). Kita orang Islam ada budaya berpolitik tersendiri sebab akhirnya orang politik yang beragama Islam akauntabiliti bukan hanya kepada rakyat tetapi Allah SWT. Saya melihat cara PAS dikalahkan pada 2004 dalam cara tidak bermoral. Kalau saya dipilih pada 2004, naiknya saya secara tidak berakhlak dan tidak beradab saya lebih rela untuk menjadi orang biasa sahaja sebab orang melihat kita sama ada kita layak dihormati atau tidak. Cuba kita tengok, di mana media memanipulasikan budak Tabika dikatakan dihalau oleh PAS. Sedangkan pada gambar (menunjukkan) budak keluar dari situ untuk berpindah ke tempat lain, tetapi dituduh PAS menghalau dan menutup tadika itu. Satu yang kedua, rancangan tanah berkelompok yang diberikan PAS kepada rakyat telah dihentikan di bawah kerajaan BN. Kemudian kejayaan PAS memproses 40,000 ekar .. 40,000 permohonan tanah rakyat Terengganu merupakan satu rekod dan ditiru oleh negeri lain tetapi UMNO menafikan peranan PAS dalam pembangunan ekonomi Terengganu. Kemudian agensi, TDM (Terengganu Development Management) ini mampu membeli, menyewa hotel di Makkah untuk orang Terengganu sendiri. Saya nak tanya Dato’ apakah peranan Patrick Badawi (Patrick Lim) ini membolot segala projek di Terengganu kenapa diberi kepada seorang bangsa Cina ini? Apa jadi dengan orang Melayu di situ?

J: Tidak silap saya, Haji Hamzah ini Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah dan dia melihat dari segi persepsi PAS. Sebenarnya saya nak menyatakan bahawa kami tidak pernah berlakon dan mengarahkan budak tadika berlakon mengeluarkan beg dan peralatan sekolah. Inilah realiti berlaku di Terengganu, sebab itu Haji Hamzah barangkali mendapat gambaran tidak benar. Sebab itu saya kalau Haji Hamzah betul-betul seorang Islam, kalau sanggup bersumpah dengan al-Quran, datang sendiri tengok apakah ini bukan merupakan satu penghinaan dan kezaliman PAS kepada rakyat Terengganu. Mengunci tadika, mengunci mesin jahit dan tidak membenarkan pelajar Tadika belajar di situ.
Sebab itu saya katakan tadi Haji Hamzah hanya melihat dari persepsi PAS berdasarkan gambar yang diberikan, saya menghadapinya sendiri dan saya tidak berbohong dan saya bersumpah dengan al-Quran, saya kata `Wallahi, Wabillahi, Watallahi..’ Ini dilakukan oleh PAS Terengganu dengan mengunci pagar Tadika, kelas-kelas Kemas dan ini bukan lakonan kita. Bila ditutup kita terpaksa membawa anak-anak kita keluar. Ini berlaku Tuan Haji (Hamzah) sebab itu saya katakan ini bukan pembohongan ini realiti. Sebab itu saya mintak Tuan Haji datang ke Terengganu, jumpa saya kita boleh tunjukkan. Yang kedua, menyatakan bahawa Kerajaan Terengganu termasuk UMNO menyatakan kita menang kerana dengan cara tidak Islamik dan sebagainya. Saya pun merasakan kita sebagai sebuah negara Islam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, sebab saya melihat PAS melihat dari kaca mata mereka sendiri. Contoh pilihan raya baru-baru ini, bila polis ramai dikatakan orang menjadi takut dan SPR (Suruhanjaya Pilihanraya ) tidak telus. Tetapi apabila menang, terima kasih kepada SPR, kepada polis..bila kalah cerita lain. Ini gambaran yang tak betul.

Begitu juga dikatakan 40,000 tanah diagihkan oleh PAS kepada rakyat Terengganu. Saya sebagai seorang (bekas) Penolong Pentadbir Tanah Daerah dan saya bekerja mengenai undang-undang tanah, saya salah seorang yang menjadi sumber rujukan dari segi undang-undang tanah ini. Apa yang dibuat oleh PAS tak betul. PAS buat di Terengganu, di mana 40,000 ekar diagihkan ini diberi kepada pihak swasta untuk mengukur dan mengutip duit. Apabila bagi kepada swasta pastinya (swasta) nak duit. Tanah tak tau di mana, dari segi peraturan tanah, bila keluar Jadual 5, ada empat perkara yang perlu diselesaikan. Pertama, bayar harga tanah; kedua upah ukur; ketiga bayar tanda batu sempadan; keempat, cukai tahun pertama sebab itu Jadual 5 dikeluarkan baru boleh mendaftar dengan nama kita. Ini dia (PAS) kutip duit tidak diberi kepada Pejabat Tanah sebagai pemegang amanah, dibayar kepada juru ukur berlesen. Tanah tak tau di mana, borang tidak ada. Sebab itu bila dibayar harga tanah ini dan bila kita ambil alih kalau dibayar kepada pentadbir tanah kalau tak lulus kepada mereka, dia pun ada hak, pentadbir tanah akan bayar balik duit kepada orang yang tak berjaya, sebab duit itu duit amanah tetapi duit tak tau ke mana.Dikutip (duit) oleh JSR dengan alasan nak bayar kepada juru ukur, tanah pun tak tau, borang pun tiada. Ini menyalahi dan tak mengikut peraturan. Kita boleh bercakap politik tetapi ini mengenai undang-undang. Saya pentadbir tanah saya tahu mengenai undang-undang tanah, sebab itu ada borang yang dikeluarkan..Jadual 1, isi borang, tanah di mana, lot di mana. Kadang-kadang kita bercakap politik tetapi jangan politikkan semuanya ada benda tak betul, kita bincang cara yang betul. Kita mesti ikhlas sebagai orang Islam kita jangan berbohong kepada rakyat. Kita boleh menuduh orang macam-macam, akhirnya kita kembali kepada Allah SWT. Adakah kita nak jawab nanti kita menipu rakyat? Saya tak sanggup, kita tak sanggup. Saya pernah sebut di mana-mana, saya tak redha kalau saya menang, saya menipu rakyat. Saya kalah tak apa, sebab saya pernah kalah, saya tak kisah.

Kita sudah jelas, masalah sekarang apakah yang kita amalkan. Kita sebagai Islam tak sepatutnya menyakiti Islam yang lain tetapi apabila kita bersyarah, kita bercakap kita tuduh orang bukan-bukan, mempunyai syak wasangka pada orang, tidak ikhlas dan sebagainya.

S: (Pemanggil- Encik Mahfoz dari Subang). Tahniah kepada Dato’ sebab undian tetap banyak walaupun macam-macam orang cakap mengenai pilihan raya Kuala Terengganu. Yang kedua, sebagai orang Terengganu `approach’ Dato’ memang menambat hati pengundi atas pagar. Yang ketiga, cadangan saya kalau kita tengok kebanyakan negeri di Malaysia yang bagi tawaran kepada anak negeri belajar dalam bidang Master mesti dia kata sambung dalam Master mesti kena sambung sepenuh masa. Cuma saya nak cadang, memandangkan Terengganu Allah SWT memberi kita rezeki banyak, boleh tak kalau beri kelonggaran dalam bidang kritikal contohnya kewangan Islam tetapi dia buat bukan sepenuh masa diberi juga tajaan kalau negeri lain memang tak boleh. Cuma memandangkan sekarang ini kita tengok kewangan Islam pun baru dan Terengganu tengah ada duit banyak.

J: Saya nak beritahu juga, mulai tahun ini kerajaan Terengganu sudah menetapkan hendak menghantar anak Terengganu bagi mengikuti bidang perubatan di luar negara seramai 150 orang setahun. Kita akan hantar 50 orang ke Mesir, 50 orang ke Indonesia dan 50 lagi ke Russia. Saya telah melawat Mesir tahun lepas dan kita mengarahkan supaya sebuah asrama khusus kepada pelajar perubatan, di Mansurah Universiti akan dibuat. Indonesia serta Russia Insya-ALLAH saya akan lawat pada tahun ini untuk tinjau kemudahan yang ada, termasuk universiti yang diiktiraf oleh JPA. Kita juga akan melatih 20 juruterbang Terengganu pada tahun ini dengan memberi pinjaman dan sebagainya.

Tetapi dalam bidang Master dan PhD kita sudah buat tawaran kepada anak Terengganu yang tidak mendapat pinjaman dari mana-mana akan ditaja oleh Kerajaan Terengganu. Tetapi dari segi (Master) tidak sepenuh masa, apa rasional dan justifikasi kerana perlu melihat dari segi keseluruhan senario yang berlaku. Alhamdulillah kita ada sedikit ruang tetapi kita perlu melihat dari pelbagai sudut, perspektif yang kita ada. Insya-Allah menjadi hasrat kita untuk pastikan anak Terengganu terus cemerlang dalam pendidikan. Ini sebagaimana yang saya sebut pada 2007 kita pernah perkenalkan satu skim galakan kepada anak Terengganu yang belajar di universiti tempatan yang mendapat Ijazah Kelas Pertama iaitu kita berikan, pertama daripada pinjaman tukar kepada biasiswa. Kedua, hadiah kecemerlangan RM3,000 pada tahun pertama kepada 22 orang anak Terengganu yang mendapat ijazah kelas pertama daripada universiti tempatan. Tetapi kali kedua pada 2008, Disember tahun lalu, seramai 63 orang anak Terengganu mendapat ijazah kelas pertama. Mulai 2009, saya mengarahkan supaya pelajar tajaan Yayasan Terengganu yang mendapat hadiah cemerlang ini dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000.


S: Bila bercakap soal Tadika, adakah RM1.2 juta untuk program TBKids (Terengganu Briliant Kids) ini menampakkan kesan yang begitu baik di peringkat `grassroot’ Dato’?

J: Semasa Dato’ Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar, kita memperkenalkan Q-des (modul) dengan peruntukan RM10 juta setahun. Mulai tahun ini, sekali lagi kita memperkenalkan program TBKids iaitu satu modul yang dirangka dan dibuat oleh anak Terengganu sendiri yang mana kita menggunakan program interaktif menggunakan skrin sesentuh. Kalau dulu, dua mata pelajaran BI dan Matematik, sekarang kita lebarkan kepada enam mata peajaran. Buat permulaan ini, kita akan membelanjakan kira-kira RM3 juta. Mula-mula kita rancang 40 tadika pertama, tetapi atas permintaan kita tambah 100 tadika dan setiap satu memerlukan kos RM30,000. Jadi, sebanyak RM3 juta akan dibelanjakan tahun ini melibatkan enam mata pelajaran termasuk Pengajian al-Quran, Jawi dan sebagainya. Mereka boleh menggunakan skrin untuk melukis dan selepas itu `print’ hasil kerja menggunakan ICT sepenuhnya.

S: (Pemanggil - Encik Mohamad dari Terengganu). Pertama, sebagai orang Terengganu saya hendak menafikan tuduhan Haji Hamzah dari Sabah sebab saya melihat sendiri situasi di tadika tadi, semasa pemerintahan PAS. Kedua, saya mintak Dato’ cuba menyemak semula peranan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung).

J: Pertama untuk menjelaskan lagi tuduhan yang dilemparkan Haji Hamzah itu tidak benar. Seluruh dunia melihat saya bersumpah. Bahawa ini bukan rekaan yang sebenarnya berlaku di Terengganu. Bukan rekaan, bukan lakonan.
Kedua, mengenai JKKK kita sedang mengkaji keseluruhan organisasi JKKK dan kita akan lihat permasalahan yang berlaku ini dan InsyaALLAH ini akan kita perbetulkan dari semasa ke semasa kerana ini melibatkan jentera yang sudah berakar umbi dalam perkhidmatan JKKK kita, ada perkara yang perlu kita perbetulkan. (Contohnya) Kereta pun dah lama pakai, kita nak baru atau tukar yang baru.

S: Sepertimana yang diketahui, tahun ini yang penuh cabaran sebenarnya terutama dari segi kemelesetan ekonomi dunia. Bagaimana dengan Terengganu, apakah Dato’ bersedia dengan situasi yang tak dapat dijangkakan ini daripada aspek ekonomi?

J: Alhamdulillah, Malaysia negara bertuah. Walaupun dunia mengalami kemelesetan ekonomi tetapi negara kita mas
ih bertahan dengan situasi yang ada. Begitu juga negeri Terengganu kita boleh menghadapinya. Kita lihat pada hari ini di dada akhbar masalah kemelesetan ini berlaku menyebabkan pembuangan kerja besar-besaran berlaku seluruh dunia. Tetapi di Malaysia juga merasa sedikit sebanyak walaupun tidak ketara dan begitu juga di Terengganu, dan kita tidak menghadapi masalah yang agak serius. Sebab itulah mulai tahun lepas, sebaik saya menjadi Menteri Besar, saya keluarkan arahan mana-mana projek kerajaan negeri, pekerjanya hendaklah sekurang-kuranganya 60 peratus daripada anak tempatan. Kalau selama ini saya lihat hampir 100 peratus datangnya daripada pendatang-pendatang (asing) pekerjanya. Hari ini sekali lagi dalam mesyuarat Exco tengahari tadi saya mengarahkan Dato’ SUK (Dato’ Mokhtar Nong) dan juga Pegawai Kewangan Negeri (Dato’ Mazlan Ngah) bukan sahaja memastikan berdasarkan 60 peratus itu diamalkan, tetapi ada satu pasukan pemantau bagi memastikan projek dapat beri ruang pekerjaan kepada 60 peratus rakyat Terengganu.

Kedua, projek rancangan pembangunan di Terengganu sejak dulu lagi (dilaksanakan) dengan bina 32 masjid baru setiap tahun dan akan beri ruang kepada anak tempatan dengan syarat-syarat tadi. Ketiga, kita lihat kita juga ada projek kecil, baru-baru ini pengagihan 583 projek kecil yang diserahkan kepada kontraktor kelas F di Kuala Terengganu sahaja. Bayangkan kalau 583 projek, kalau dah minima lima orang satu projek, maknanya dah hampir 3,000 orang dapat kerja daripada projek ini sahaja.
Ini saya katakan bahawa Insya-Allah dengan keadaan ekonomi yang masih lagi dapat bertahan di negara termasuk juga Terengganu, tidak akan menghadapi masalah serius. Cuma tinggal lagi cabarannya ialah sama ada `orang kita’ nak bekerja atau tidak merebut peluang ini.

S: Apakah Dato’ berpuas hati dengan `team’ yang berada dalam exco di bawah Dato’ ini yang dilihat seiringan, apatah lagi mendapat pemimpin muda yang nak menyambut hari jadi ke-52 Februari depan. Apakah Dato’ mengharapkan sesuatu dari barisan exco ini.

J: Saya berpuas hati setakat ini apa yang dilakukan oleh exco-exco saya. Tetapi sebagai orang baru sudah tentulah mereka memerlukan pengalaman masa untuk membuat lonjakan tetapi nampaknya mereka bekerja keras untuk membolehkan mereka menunjukkan kebolehan masing-masing. Sudah tentu mereka ingin meneruskan kedudukan exco dalam pilihan raya akan datang. Sebab itu ia merupakan cabaran kepada mereka. Rombakan dan pertukaran adalah perkara biasa, lumrah dan kita melihat apa juga kebaikan amat kita hargai.

S: Kata-kata terakhir Dato’ kepada rakyat Terengganu khususnya yang menonton `Hello Malaysia’ hari ini.

J: Pertama, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang masih lagi memberi kepercayaan kepada BN Terengganu walaupun kita tewas tetapi undi kita tidak jauh bezanya, 30,000 lebih yang kita dapat. Cuma yang berlaku kekalahan ini kerana kurangnya pengundi luar yang pulang mengundi dan pengundi BN tak keluar mengudi. Saya berkeyakinan penuh, Insya-Allah dengan sedikit perubahan yang sedang kita lakuan kita mampu menawan kembali Kuala Terengganu pada pilihan raya akan datang. Kepada rakyat Terengganu saya hendak mengucapkan terima kasih dengan sokongan yang mereka berikan kepada saya dan wakil rakyat yang ada ini dan kita pastikan program merakyatkan pembangunan akan kita teruskan dan selepas ini kita lancarkan program `Menteri Besar bersama Rakyat’ yang akan turun ke kampung-kampung untuk pembahagian atap, pembangunan yang dilaksanakan termasuk kepada generasi muda yang akan datang. Hari ini saya telah mengarahkan kepada Pegawai Kewangan dan SUK. Peringkat permulaan kita akan bina pusat rakyat bagi setiap DUN. Buat permulaan kita bina 14 ke 15 untuk tahun ini dilengkapi dengan kemudahan `highmas’ dan mereka boleh bermain pada waktu malam kepada generasi muda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan