Khamis, 5 Mac 2009

Ikon Anak Terengganu

Prof Izi – perunding motivasi santai

Oleh: AIDA ABD RAHMAN



Mungkin ramai yang sudah sebati dengan `tagline’ - `Renung-renungkan dan selamat beramal’. Mendengar kata-kata itu pastinya gerangan individu yang sering melontarkan ungkapan tersebut juga turut dikenali ramai.

Beliau tidak lain dan tidak bukan, pakar motivasi, Prof Madya Md Izuddin Ali atau lebih dikenali sebagai Prof Izi yang sering ke udara setiap pagi dalam rancangan Motivasi di Radio Hot FM dan Muqadimah di saluran TV9.



Penampilan yang sentiasa menarik, `lain dari yang lain’ serta gaya santai anak jati Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu yang sentiasa mengukir senyuman manis itu berjaya memikat ramai pendengar dan penonton untuk terus `jatuh cinta’ dengan rancangan yang menampilkan beliau menerusi kaca televisyen.

Selain lima kali seminggu ke udara di Hot FM, Prof Izi turut diundang menjadi tamu menerusi radio IKIM, Klasik Nasional, Kelantan FM, Terengganu FM dan panel di televisyen termasuk di TV3 menerusi Malaysia Hari Ini, Wanita Hari Ini dan Motivasi Pagi, di TV9 dalam program Halaqah, Cari Menantu, Nasi Lemak Kopi O, Galaksi dan Motivasi.



Manakala di saluran Astro seperti Modal Insan, WW, Perspektif, Sudut Pandang, Kalam Suci dan Malam Ini Z & R. Di TV1 pula muncul untuk rancangan Fitrah Kasih; Inspirasi Pagi; Selamat Pagi Malaysia; Fenomena Seni; Dari Wanita Untuk Wanita dan Stylo di TV2.

Tiket bergelar pensyarah di UiTM Shah Alam (1989-1992), sebelum ditukarkan ke UitM Dungun sebaik tamat Diploma Lanjutan Ijazah Pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai pada 1988 hingga 1989 memberi ruang luas untuk beliau menggapai cita-citanya sebagai pakar motivasi.

“Ketika belajar di luar negara lagi saya sering bertanya kepada diri sendiri bagaimana cara untuk saya memberi kesedaran dan ingatan kepada mereka yang `hanyut’ dan akhirnya hasrat direalisasi selepas banyak diundang menjadi panel perunding motivasi untuk pelajar dan semua golongan di institusi pendidikan serta rancangan di TV dan radio.



“Saya memulakan langkah kanan dengan tugasan pertama ketika menjadi panel jemputan rancangan Prisma di RTM pada 22 November 1997 dan di Radio Terengganu yang memberi peluang untuk saya terus melebar impian,” katanya ketika ditemui wartawan GanuKita, di pejabatnya di UiTM, Dungun, baru-baru ini.

Kesibukan sebagai penceramah lebih 16 tahun lamanya di bidang motivasi pelajaran, kekeluargaan dan komunikasi, di pelbagai peringkat sekolah, jabatan kerajaan, badan korporat di seluruh negara serta perunding motivasi untuk Telaga Biru Sdn Bhd tidak mengganggu tugas hakiki beliau sebagai Pensyarah Kanan di UiTM Dungun.

Berbekalkan sokongan isteri yang dikahwininya sejak 15 tahun lalu, Roziah Shafiai serta pihak pentadbiran UiTM, beliau bijak mengatur jadual yang sentiasa padat.

Pun begitu, ketika menceritakan pengalaman dan latar belakang pendidikan yang sentiasa menghasilkan rekod cemerlang, beliau yang dilahirkan pada 29 Mac 1964 juga tidak lepas daripada mengalami kegagalan ketika awal persekolahan.

Sikap acuh tidak acuh beliau ketika Peperiksan Penilaian Darjah Lima di Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah, Kuala Terengganu, menyebabkan beliau hanya meraih 1A, 3B dan 1C berbanding rakan sebaya yang cemerlang dengan keputusan 5A dan sekurang-kurangnya 4A, 1B.



Episod duka itu menyebabkan beliau menyimpan sesal yang menggunung ditambah pula status anak lelaki tunggal dalam enam beradik menjadikan beliau menjadi harapan keluarga terutama bapa beliau yang bertugas sebagai guru.

“Masih saya ingat, bapa saya begitu kesal dan marah dengan keputusan peperiksaan saya. Malah daripada situ, saya tanam nekad untuk berjaya dan selepas empat tahun menunggu bersandarkan usaha sendiri tanpa bantuan mana-mana tuisyen, saya membuktikan saya mampu berjaya. Itulah hadiah yang cukup bernilai untuk keluarga saya,” katanya.

Beliau kemudiannya menyambung pelajaran dalam jurusan Sains Pertanian di Sekolah Menengah Tengku Bariah. Tanpa menoleh kepada kegagalan lalu, beliau muncul sebagai pelajar pintar dan pelajar pertama dalam kelas serta kedua bagi keseluruhan kelas.



Beliau seterusnya menjadi pelajar terbaik Sijil Rendah Pelajaran (SRP) ketika itu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Sains Terengganu (kini) Sekolah Menengah Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Keputusan cemerlang yang dicapai dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, melayakkan anak muda itu melanjutkan pelajaran dalam jurusan Matematik di Humboldt State University, Arcata, California (1981-1985) (Ijazah Pertama) sebelum melanjutkan pengajian di bidang yang sama di California State University, Fresno pada 1986 higga 1988.

Bakat beliau sebagai penceramah mula terserlah apabila sentiasa berucap di khalayak dalam program usrah dan ceramah ketika menjadi Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Humboldt State University dan Presiden Persatuan Islam Malaysia di California State University Fresno.

Malah, beliau yang dinaikkan pangkat sebagai Pensyarah Kanan pada 1 Ogos 1999 dan dianugerahkan Prof Madya oleh UiTM pada 1 Julai 2001, juga aktif menghasilkan buku dan cakera padat video (VCD). Antara bahan terbitan beliau termasuk 1999 Mutiara Kata Yang Ditemui, Words Of Wisdom To The Top, Berucap Penuh Yakin dan Jalan Pintas Ke Arah Pelajar Cemerlang serta penerbitan buku, koleksi tazkirah `Renung-renungkan dan Selamat Beramal’ yang dijangka dapat dipasarkan Ogos depan.



Sepanjang berkhidmat di UiTM, beliau turut menerima Anugerah Khidmat Cemerlang pada 1994, 2001 dan 2005 serta pernah diamanahkan sebagai Koordinator Pengajian Jarak Jauh, Ahli Jawatankuasa Kualiti, Penyelaras Program Bimbingan Belajar dan Panel Penilai Pengambilan Pensyarah Baru UiTM.

Prof Izi yang berpegang kepada falsafah `penambahbaikan tanpa batasan’, berhasrat terus memberi khidmat motivasi kepada pihak yang memerlukan terutama kepada anak negeri sendiri.



“Kalau ada peluang saya nak lebih banyak memberi motivasi kepada belia dan beliawanis, terutama anak Terengganu yang tidak tahu hala tuju kehidupan mereka kerana saya berkeyakinan mereka memiliki peluang cerah untuk berjaya dalam hidup.

“Banyak kemudahan dan ruang disediakan pihak berwajib terutama kerajaan dan agensi berkaitan, tinggalnya bagaimana memupuk, merangsang dan memantau mereka untuk memilih jalan yang betul melalui motivasi diri,” katanya mengakhiri bicara dan menyambung tugas memasuki kelas sebagai pensyarah pula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan