Isnin, 30 Mac 2009

Ekspo pendidikan kumpul maklumat kerjaya

Oleh: ESAH ABDULLAH

Senario hari ini memperlihatkan wujudnya masalah semakin mencabar dalam bidang pendidikan dan hubungan dengan peluang kerjaya, terutama dalam suasana kelembapan ekonomi negara serta dunia.

“Isu pengangguran di kalangan siswazah selalu dibincang oleh pelbagai lapisan masyarakat,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said pada majlis perasmian Ekspo Pendidikan, Latihan dan Kerjaya (EDUCARE 2009) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Encik Ahmad Razif Abdul Rahman.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Pengantarabangsaan UMT, Prof. Dr Aziz Deraman dan Pengerusi Ekspo, Prof Madya Dr Khalid Somo serta lebih 1,000 pelajar ibu bapa dan guru.

Menteri Besar berkata, perkara ini berlaku kerana wujudnya ketidakserasian antara program pengajian yang dipilih dengan peluang pekerjaan yang terdapat dalam pasaran kerja dan program sebegini bertepatan sebagai sumber bagi memperolehi seberapa banyak maklumat.

“Maklumat yang tepat dan komprehensif tentang pelbagai program pengajian dan kerjaya bukan sahaja diperolehi daripada pusat-pusat pengajian tinggi tempatan dan swasta malah badan-badan korporat dan pihak swasta,” katanya.

Katanya, Petronas, Telekom Malaysia, serta unit beruniform seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga mampu menyalurkan maklumat kerjaya yang berguna kepada lepasan sekolah yang dalam proses membuat keputusan penting dalam mencorakkan masa depan mereka.

“Ekspo ini juga menjadi landasan kepada institusi pengajian tinggi memperkenalkan kepada pelajar dan ibu bapa serta guru mengenai program dan kursus baru yang ditawarkan,” katanya.

Selain itu, katanya, turut memberi maklumat mengenai potensi dan peluang pekerjaan berkaitan program pengajian yang ditawarkan pada masa kini.

Seminar selama tiga hari bermula 19 Februari itu disertai lebih 26 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta dari dalam dan luar Terengganu.

Di samping menyediakan khidmat nasihat kaunseling dan kerjaya pihak penganjur juga mengadakan ceramah kerjaya bagi membantu pelajar dan ibu bapa membuat pilihan berdasarkan keputusan peperiksaan masing-masing.

Pihak penganjur turut menyusun ceramah berkaitan bidang perubatan dan farmasi, kejuruteraan, perakaunan, penerbangan dan maritim untuk disajikan kepada para pengunjung.

Unit Komunikasi Negeri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan