Rabu, 11 Mac 2009

PTG selesai 1,086 permohonan tanah

Oleh: SURIATI ALI

Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berjaya menyelesaikan 1,086 kes daripada sejumlah 3,580 permohanan penduduk tempatan bagi mendapatkan hak milik tanah di seluruh negeri, tahun lalu.

Baki 2,494 kes permohanan mendapatkan hak milik tanah terpaksa ditangguh atas sebab tertentu, selain pemohon didapati gagal memenuhi peraturan dan syarat kelayakan seperti ditetapkan kerajaan negeri.

Berdasarkan perangkaan, Kuala Terengganu mencatatkan jumlah permohonan tanah tertinggi dengan 1,020 kes, diikuti Kemaman (860 kes), Marang (478 kes), Besut (471 kes), Dungun (422kes), Setiu (174 kes) dan Hulu Terengganu (155 kes).

Kes permohonan tanah yang berjaya diselesaikan mengikut daerah ialah Kuala Terengganu 299 kes, Marang (259 kes) Kemaman (193 kes), Dungun (171 kes), Besut (104 kes), Setiu (43 kes) dan Hulu Terengganu (17 kes).

Bagi tahun 2007, PTG menerima permohonan 8,852 kes daripada penduduk bagi tujuan sama dan daripada jumlah itu, 7,313 kes berjaya diselesaikan selepas membuat penelitian terperinci daripada pihak berkaitan.



Pengarah PTG, Dato’ Abdul Razak Ismail, berkata penduduk di Kuala Terengganu paling banyak membuat permohonon memiliki tanah disebabkan kepadatan penduduk selain keinginan mencuba mendapatkan tanah kerajaan.

“Semua permohanan itu diterima, tetapi tidak semestinya mendapat kelulusan daripada pihak berkenaan berikutan Kuala Terengganu dan daerah lain kini mengalami kekurangan tanah,” katanya ketika dihubungi GanuKita.

Dato’ Abdul Razak berkata, kategori tanah perumahan dan pertanian adalah jumlah paling tinggi dipohon penduduk yang mahu tanah berkenaan menjadi hak milik masing-masing.

Sebelum meluluskan permohonan orang ramai, PTG mengambil kira pelbagai aspek termasuk perlu mengemukakan bukti serta butiran lengkap berkaitan tanah dipohon selain mendapat persetujuan Exco kerajaan negeri ketika mengadakan mesyuarat mingguan.

“Mereka yang belum pernah memiliki tanah kerajaan, berpendapatan rendah dan mempunyai tanggungan ramai akan diberi keutamaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan