Khamis, 5 Mac 2009

Pegawai kanan pantau projek negeri

Oleh: KAMARUDIN MAT AKIB

Dua pegawai kanan kerajaan negeri diarah supaya memantau pasukan pemantau yang ditubuhkan kerajaan benar-benar melaksanakan tugas mereka memastikan setiap projek Kerajaan Terengganu melibatkan sekurang-kurangnya 60 peratus anak tempatan.

Langkah itu bertujuan memastikan peluang pekerjaan yang luas disediakan kepada anak-anak tempatan, khususnya di kalangan mereka yang masih menganggur.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, selepas dilantik memegang jawatan itu beliau mengeluarkan arahan mana-mana projek kerajaan negeri, pekerjanya hendaklah sekurang-kurangnya 60 peratus daripada anak tempatan.

“Kalau selama ini saya lihat hampir 100 peratus pekerja (yang melaksanakan projek kerajaan) datangnya daripada pendatang-pendatang (asing).

“Hari ini sekali lagi dalam mesyuarat Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan) tengahari tadi saya mengarahkan Dato’ Setiausaha Kerajaan (Dato’ Mokhtar Nong) dan juga Pegawai Kewangan Negeri (Dato’ Mazlan Ngah) bukan sahaja memastikan berdasarkan 60 peratus itu diamalkan, tetapi ada satu pasukan pemantau bagi memastikan projek dapat beri ruang pekerjaan kepada 60 peratus rakyat Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha kerajaan negeri menangani masalah ekonomi global dalam temuramah rancangan Hello Malaysia yang disiarkan Bernama-TV baru-baru ini.

Selain itu, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri meneruskan projek rancangan pembangunan di Terengganu yang dirancang sejak dulu lagi dengan membina 32 masjid baru setiap tahun.

Katanya, langkah ini akan memberi ruang pekerjaan kepada anak tempatan dengan syarat-syarat projek berkenaan perlu melibatkan sekurang-kurangnya 60 peratus anak tempatan.

“Ketiga, kita lihat kita juga ada projek kecil, baru-baru ini pengagihan 583 projek kecil yang diserahkan kepada kontraktor kelas F di Kuala Terengganu sahaja.

“Bayangkan kalau 583 projek, kalau dah minima lima orang satu projek, maknanya dah hampir 3,000 orang dapat kerja daripada projek ini sahaja.

“Ini saya katakan bahawa Insya-Allah dengan keadaan ekonomi yang masih lagi dapat bertahan di negara termasuk juga Terengganu, tidak akan menghadapi masalah serius.

“Cuma tinggal lagi cabarannya ialah sama ada `orang kita’ nak bekerja atau tidak merebut peluang ini,” tambahnya.

Mengenai prestasi Exco negeri ini, setakat ini Menteri Besar berpuas hati dengan apa yang dilakukan mereka, tetapi sebagai orang baru sudah tentulah mereka memerlukan pengalaman masa untuk membuat lonjakan.

“Nampaknya mereka (Exco) bekerja keras untuk membolehkan mereka menunjukkan kebolehan masing-masing. Sudah tentu mereka ingin meneruskan kedudukan Exco dalam pilihan raya akan datang.

“Sebab itu ia merupakan cabaran kepada mereka. Rombakan dan pertukaran adalah perkara biasa, lumrah dan kita melihat apa juga kebaikan amat kita hargai,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan