Selasa, 10 Mac 2009

Kuala Berang banyak tarikan

Oleh: Farezul Fadzal

Bandar Kuala Berang mempunyai pelbagai tarikan tersendiri, antaranya Hutan Lipur Sekayu yang setiap hujung minggu menjadi tumpuan keluarga serta orang ramai beriadah.

Kuala Berang juga menjadi lokasi pengisytiharan Islam sebagai agama rasmi bukan sahaja bagi negeri Terengganu, tetapi Semenanjung Malaysia dengan penemuan batu bersurat di kawasan Padang Tara, berhampiran Sungai Tara, Kampung Buluh.

Kini Memorial Batu Bersurat dibina di Kampung Buluh, berhampiran lokasi asal penemuan bahan bersejarah itu yang menjadi simbol kepada kampung berkenaan dan daerah Hulu Terengganu secara umumnya.

Memorial ini direkabentuk empat persegi sama seluas 11,400cm x 11,400cm dan bertingkat tiga belas (13) termasuk replika Batu Bersurat melambangkan Rukun Iman dan jumlah daerah di negeri ini.

Bahan binaannya terdiri daripada batu granit biasa dan hitam, dirasmikan mantan Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, pada 13 April, 1992.

Memandangkan tempat ini merupakan tapak penting dalam pensejarahan negeri dan negara, adalah wajar ia dibangun dan dijadikan tempat kajian serta kunjungan penduduk tempatan dan pelancong.

Sehubungan itu, usaha menjadikan lokasi bersejarah itu sebagai produk pelancongan ke daerah itu wajar dilaksanakan agar tidak terbiar begitu sahaja.



Mengikut sejarah, Batu Bersurat telah dijumpai di kawasan Padang Tara, di tepi Sungai Tara, di kampung Buloh, Kuala Berang, Hulu Terengganu pada Tahun 1887.
Ada juga pendapat mengatakan batu tersebut dijumpai seorang pedagang Arab bernama Syed Husin Ghulam al-Bokhari, dari Indonesia pada 1902.

Ketika batu tersebut ditemui, ia dijadikan tempat pengalas kaki untuk naik ke surau. Tulisan yang terpahat di batu itu merupakan pengisytiharan undang-undang Islam, ditujukan kepada pemerintah dan rakyat Terengganu pada kurun ke-14 Masihi.

Dengan penemuan batu bersurat ini, jelas membuktikan agama Islam telah berkembang di negeri ini dan menjadi agama rasmi bermula dari tarikh tersebut.

Tulisannya pada batu tersebut bercampur dengan tulisan Melayu Lama, Sanskrit dan Arab dipercayai tulisan tertua pernah ditemui di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan