Khamis, 5 Mac 2009

Pertima dapat kepercayaan

Oleh: SURIATI ALI

Misi `memastikan produk dalam tin berkualiti dan dijamin halal’ menyakinkan syarikat pengeluar makananan tempatan dan luar negara untuk menempah pelbagai produk yang dihasilkan Pertima Trengganu Sdn Bhd (Pertima).

Muslim Aid Asia (MAA) antara pertubuhan yang memberi kepercayaan kepada anak syarikat kerajaan negeri itu bagi mendapatkan perkhidmatan memasak dan mengetin kira-kira 73 metrik tan daging membabitkan 7,000 kambing korban.

Daripada jumlah itu, sebanyak 174,000 tin pelbagai perisa dapat dihasilkan Pertima sebelum diedar pertubuhan itu ke negara Islam di serata dunia, termasuk rakyat Palestin di Gaza dan penduduk miskin di negara ini.

Pengurus Besar Pertima, Encik Mohammad Latef, berkata pihaknya bangga dengan kepercayaan yang diberikan beberapa syarikat makanan tempatan dan luar negara itu dan kebanyakannya kini menjadi pelanggan tetap.

“MAA antara pelanggan setia Pertima di mana sudah empat tahun mendapatkan perkhidmatan memasak dan mengetin daging korban yang siap sembelih dan dipotong,” katanya pada sidang media di Pertima, Chendering, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Pengarah Muslim Aid, Wan Rusli Wan Muda, berkata pihaknya menggunakan perkhidmatan Pertima selepas yakin dengan mutu dan kualiti produk yang dihasilkan.

“Produk Pertima yang mementingkan tanda halal itu sudah dikenali masyarakat Islam di serata dunia berikutan pelbagai jenama makanan diagihkan pihak kami ke Afghanistan, Kenya, Lubnan, Palestin, Somalia, Sudan dan Uganda.

“Kaedah diagihkan adalah melalui beberapa program berbentuk kemanusian yang dijalankan Muslim Aid dan terbaru adalah Program Agihan Daging Korban Kepada Rakyat Palestin di Gaza,” katanya.

Melalui program itu, 7,000 kambing yang telah ditinkan Pertima akan diagihkan kepada golongan itu mulai Mac ini.

Menurut Wan Rusli, pihaknya prihatin dengan nasib rakyat Palestin yang sentiasa ditimpa musibah, kecelakaan serta mengalami kebuluran akibat peperangan.

“Sejak berlakunya kejadian itu di Gaza, Muslim Aid adalah antara pertubuhan terawal yang memberi pelbagai bantuan berbentuk makanan, perubatan, bekalan air bersih dan pendidikan.

“Sejumlah RM1.5 diperuntukkan bagi tujuan itu dan diharap ia dapat membantu meringankan penderitaan rakyat negara itu, terutama kanak-kanak dan warga emas,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan